Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga artis berlainan bangsa bersatu pupuk perpaduan

    KUALA LUMPUR – Oh my kadhale, tolong dengari aku, oh my kadhale, selamatkan aku, oh my kadhale, hanya perlukan kamu, oh my kadhale, neetha yen kadhale – antara rangkap lirik lagu yang pasti masih segar di telinga rakyat Malaysia.

    Menonjolkan perkataan kadhale, iaitu bahasa Tamil bermaksud ‘sayang’ dalam bahasa Melayu, lagu berjudul Oh My Kadhale nyanyian Ezra Kairo dan Zubir Khan ini mencetuskan sensasi tersendiri dalam kalangan peminat muzik Malaysia sejak dilancarkan pada Mei lepas.

    Keunikan lagu bukan hanya pada lirik adunan bahasa Melayu dan Tamil serta sedikit bahasa Inggeris, tetapi juga kisah tersirat ketika karya digubah kerana melibatkan tiga penggiat muzik daripada kaum berbeza yang juga rakan baik, iaitu Zubir Khan, Ezra Kairo dan Yue Wai Ming,

    Berkongsi kisah dengan Bernama, Zubir Khan atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, 24, berkata perjalanan lagu itu bermula dengan ajakan Ezra Kairo untuk berkolaborasi semasa beliau sedang bersiaran langsung di TikTok.

    “Ezra tinggalkan komen mengajak saya bekerjasama hasilkan lagu tentang curahan kasih sayang kepada insan tercinta. Keesokannya saya ke rumah dia, dan kami berbincang tentang projek itu yang merupakan kolaborasi pertama kami,” kata anak muda ini yang ditemui pada majlis tertutup anjuran syarikat rakaman EMI Records di sini.

    Gambar fail Bernama menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing ketika perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya, pada 31 Ogos. – Bernama
    Zubir dan Ezra ketika ditemui pada majlis tertutup anjuran syarikat rakaman EMI Records di Kuala Lumpur pada 12 Ogos. – Bernama
    Lagu berjudul ‘Oh My Kadhale’ nyanyian Ezra dan Zubir mencetuskan sensasi tersendiri dalam kalangan peminat muzik negara itu sejak dilancarkan pada Mei lepas. – Bernama
    Zubir dan Ezra ketika membuat persembahan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu. – Bernama
    Gambar Bernama

    HANYA SUKA-SUKA

    Menurut penyanyi dan pencipta lagu sedang meningkat naik ini, pada peringkat awal, mereka hanya gubah lagu tersebut sekadar suka-suka dengan rentak dan lirik dibuat dalam gaya bebas.

    “Lebih manis, lagu ini juga dikarang bersama-sama seorang lagi sahabat kami, iaitu Yue Wai Ming yang pernah menggubah lagu untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza,” sampuk Ezra yang turut hadir.

    Kata pemilik nama sebenar Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson ini, beliau menganggap kolaborasi itu sebagai tanda penghargaan terhadap persahabatan mereka bertiga.

    “Di samping itu, kami ingin hasilkan satu lagu yang bermanfaat untuk para peminat dan ahli masyarakat,” kongsi artis berketurunan India ini, menambah keserasian yang cukup kuat antara mereka bertiga membolehkan mereka menyiapkan lagu berkenaan dalam tempoh empat jam sahaja.

    Bercerita lanjut, Ezra berkata pada asalnya lirik lagu ditulis dalam bahasa Inggeris dan Tamil, namun kemudian ditukar kepada bahasa Melayu dan Tamil dengan mengetengahkan rentak lagu dan lenggok bahasa Tamil.

    “Saya fokus pada bahagian bahasa Melayu sementara Zubir tumpu pada bahasa Tamil,” tambahnya.

    Walaupun mengambil masa yang singkat, lagu yang terlebih dahulu dikongsikan di platform TikTok itu berjaya menarik perhatian pendengar.

    “Disebabkan dapat reaksi positif, maka kami lancarkan pula video muzik rasmi di YouTube, dan dari situ segala-galanya menjadi tular hingga mencapai sejuta tontonan dalam tempoh dua minggu disiarkan (sejak 17 Mei 2024),” sampuk Zubir.

    Semasa pembikinan video muzik lagu Oh My Kadhale atau ringkasnya OMK, Ezra berkata mereka berusaha melibatkan kesemua tiga kaum utama di Malaysia dengan masing-masing mengenakan pakaian tradisional kaum lain, bagi menunjukkan kepada dunia kekayaan budaya di negara itu.

    BERBEZA BANGSA, BERSATU HATI

    Bercerita tentang persahabatan mereka, Zubir yang fasih berbahasa Tamil, berkata beliau bersahabat rapat dengan Ezra sejak 2019.

    Menurut anak muda yang berasal dari Sepang, Selangor ini, keadaan sekeliling sewaktu membesar banyak membantunya mengenali dan menguasai bahasa Tamil.

    “Keluarga saya ada campuran Pakistan-Melayu dan memang sejak lahir duduk di (kawasan) estet. Jadi persekitaran menjadi faktor yang banyak membantu saya memahirkan diri dalam bahasa Tamil. Pada masa sama, saya juga bersekolah di sekolah rendah yang rata-rata muridnya berbangsa India,” katanya, menambah keadaan itu membuatkan beliau tidak kekok bergaul dengan bangsa lain.

    Katanya, menyanyikan lagu Tamil membantu beliau membetulkan sebutan selain dibimbing oleh rakan-rakan berbangsa India.

    “Lama-kelamaan saya semakin mahir dalam bahasa ini dan sering pula menyanyi lagu-lagu Tamil di kenduri kahwin pada awal karier nyanyian saya,” katanya yang setakat ini telah mencipta tujuh buah lagu dalam bahasa Tamil.

    “Lagu terbaharu saya ialah ‘Yennode macha’ bermaksud ‘awak sahabat saya’, iaitu sebuah lagu yang menggambarkan kemanisan persahabatan saya dengan rakan-rakan berbangsa India.

    “Lagu OMK ini juga bukti kecintaan saya terhadap kawan-kawan berlainan bangsa, dan atas faktor itulah saya bersetuju membuat lagu ini dengan Ezra dan Wai Ming, agar kami dapat menerapkan semangat setia kawan dan perpaduan antara kaum,” tambahnya.

    Zubir tidak menyangkal ada pihak memandang sinis persahabatannya dengan kaum lain.

    “Kita semua adalah satu Malaysia dan saling memerlukan. Berkawanlah dengan semua orang untuk buka minda kita dan hidup dalam kepelbagaian budaya dan bangsa,” katanya, menambah ada pelbagai cara untuk memperkuat perpaduan kaum di negara itu, dan beliau memilih untuk melakukannya menerusi muzik serta lagu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda