Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tiga pekerja asing didapati buat kerja lain jawatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan Jabatan Buruh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Tiga pekerja warga asing telah didapati melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan jawatan sah mereka semasa Operasi Sejahtera 07/2022 yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan Kampung Mulaut pada 15 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, operasi yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan itu menyasarkan empat buah syarikat di kampung tersebut. 

    Hasil pemeriksaan telah mendapati kesalahan di bawah Bab 112, Perintah Pekerjaan 2009, iaitu majikan menyalahgunakan jawatan pekerja asing yang bertentangan dengan jawatan dalam Lesen Pekerja Asing yang dibenarkan oleh Pesuruhjaya Buruh. 

    Tiga pekerja asing telah didapati melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan jawatan sah mereka di tiga tempat operasi dijalankan di mana seorang tukang masak diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai jualan makanan, seorang tukang kebun pertanian diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai sayur;dan seorang pelayan diarahkan membuat pekerjaan sebagai jurujual di gerai jualan nasi katok. 

    Jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Pekerja asing yang didapati melakukan pekerjaan yang bertentangan daripada jawatan sah mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...