Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga tan sisik tenggiling dirampas

    BANGKOK, 2 Feb – Pihak polis dan kastam Thailand telah mematahkan cubaan menyeludup tiga tan sisik tenggiling untuk dijual di pasaran hidupan liar yang lumayan di Asia, di mana permintaan gila untuk sisik haiwan itu telah menjadikan mamalia itu paling banyak diseludup di dunia.

    Sisik tenggiling berwarna coklat itu tidak lebih daripada sekadar keratin atau bahan yang sama seperti kuku tetapi sangat berharga di Vietnam dan China di mana ia disebut-sebut sebagai mempunyai faedah perubatan.

    Permintaan yang meningkat menyaksikan kira-kira sejuta tenggiling diseludup dari hutan Asia dan Afrika sepanjang dekad yang lalu menyebabkan haiwan ini disenaraikan sebagai spesies terancam.

    Pihak polis Thailand kelmarin mendedahkan hampir tiga tan sisik tenggiling yang dibungkus dalam beg putih dirampas daripada dua buah kargo udara di lapangan terbang di Bangkok.

    Sisik tenggiling yang diseludup dari Congo itu dibawa melalui Turki sebelum menuju Laos yang menjadi hab transit utama bagi kumpulan pengedaran serantau.

    Pegawai kastam menyimpan hampir tiga tan sisik tenggiling dari Afrika yang dirampas ke dalam beg di ibu pejabat Kastam Thailand di Bangkok, kelmarin. – AP
    Pegawai kastam menyimpan hampir tiga tan sisik tenggiling dari Afrika yang dirampas ke dalam beg di ibu pejabat Kastam Thailand di Bangkok, kelmarin. – AP

    “Ini adalah penyeludupan (sisik tenggiling) terbesar yang pernah kami rampas,” Mejar Jeneral Worapong Thongpaiboon yang bertindak Pengarah Jenayah Sumber Alam dan Alam Sekitar memberitahu AFP.

    Pengarah CITES Thailand berkata, destinasi akhir hampir pasti China atau Vietnam, di mana harga sisik tenggiling dianggarkan sekitar AS$1,700 sekilo.

    “Selepas sisik itu dibersihkan, dikeringkan dan digoreng dengan campuran ubat-ubatan tradisional yang mereka percaya dapat menyembuhkan kanser dan meningkatkan prestasi seksual,” Somkiat Soontonpitakkool memberitahu AFP.

    Setakat ini, tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa sisik tenggiling mempunyai faedah perubatan.

    Pengarah eksekutif kumpulan anti-penyeludupan Freeland, Steve Galster memuji tindakan pantas pihak polis tetapi menegaskan senario ini masih dengan pola biasa: produk dirampas tetapi penjenayah di belakang tabir masih bebas.

    “Dengan hasil jenayah hidupan liar disita dan usaha sedemikian diteruskan, jenayah seumpamanya masih bukan pada tahap tinggi bagi pihak kerajaan.

    “Mereka tidak diberitahu dari peringkat tertinggi untuk memberi tumpuan kepada isu ini, jadi cukup hanya sekadar melakukan rampasan. Itulah masalahnya,” kata Galster. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda