Sunday, September 24, 2023
21.9 C
Brunei

    -

    Timbalan Menteri Pertahanan terima anugerah berprestij Singapura

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir telah menerima anugerah ketenteraan berprestij Singapura, Pingat Jasa Gemilang (Tentera) semasa lawatan pengenalan beliau ke Republik Singapura, yang bermula 31 Ogos lalu hingga
    kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, anugerah berkenaan adalah bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam mempertingkatkan lagi hubungan sangat kukuh antara Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Republik Singapura semasa memegang jawatan pemerintah TDDB.

    Penganugerahan pingat telah diadakan semasa kunjungannya ke Kementerian Pertahanan Singapura di mana setibanya di sana, beliau memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

    Ini diikuti dengan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen di mana semasa perjumpaan itu, kedua-dua pihak mengulangi komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan hubungan pertahanan dan meningkatkan lagi interaksi dan pertukaran dalam bidang berkepentingan bersama melalui pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala yang turut menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

    Sebagai sebahagian daripada program lawatan pengenalan, timbalan menteri pertahanan turut membuat lawatan ke Defence Science and Technology Agency (DSTA), Maritime Security and Response Vessels at the Changi Naval Base, ST Engineering Hub, dan Cybersecurity Operations, Sensing, Monitoring and Investigation Centre (COSMIC).

    Lawatan itu menggariskan jalinan pertahanan yang teguh dan berkekalan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Kekerapan interaksi melalui pelbagai platform kerjasama seperti lawatan pertahanan dan ketenteraan peringkat tinggi, eksesais dua hala dan pelbagai hala, pertukaran profesional, latihan serta kursus telah menghasilkan hubungan profesional dan setiakawan yang rapat.

    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak menerima Pingat Jasa Gemilang (Tentera) semasa kunjungan hormat kepada TYT Dr Ng Eng Hen.
    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak memeriksa ka-walan kehormatan sebaik tiba di Kementerian Pertahanan Singapura.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...