Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timur Tengah, destinasi eksport penting minyak sawit M’sia

    KUALA LUMPUR, 30 JAN – Dengan jumlah penduduk melebihi 330 juta dan penggunaan sebanyak 2.34 juta tan minyak sawit tahun lepas, meningkat lapan peratus daripada tahun 2020, rantau Timur Tengah akan terus menjadi destinasi eksport penting bagi Malaysia, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

    Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Aishah Wan Hamid berkata rantau berkenaan telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dalam penggunaan lemak khusus dan disebabkan kualiti pemakanan dan fungsi berkhasiatnya, minyak sawit akan mendapat manfaat daripada trend ini.

    “Rantau ini juga dijangka menyaksikan lonjakan dalam permintaan, dipacu oleh acara global seperti Ekspo 2020 Dubai, FIFA 2022, pelancongan keagamaan dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama.

    Tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke Timur Tengah, mencatatkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus. Pengimport utama dari rantau ini ialah Turki dengan jumlah 703,588 tan, diikuti oleh Iran dengan import 404,319 tan.

    Kedua-dua pasaran ini mencatatkan peningkatan, masing-masing sebanyak 19 peratus dan 25 peratus. Negara lain yang mencatatkan peningkatan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yemen, Jordan, Syria, Qatar dan Kuwait.

    “Pasaran minyak sawit UAE dijangka mencecah AS$467.1 juta (AS$1=RM4.19) menjelang 2025, menurut laporan terkini oleh Grand View Research, Inc,” kata Wan Aishah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda