Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penyakit talasemia dan kanser kanak-kanak sempena Hari Kesedaran Talasemia dan Kanser Kanak-kanak, Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) telah menganjurkan beberapa aktiviti di Times Square hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan datin.
Selain beramah mesra bersama cancer survivor dan menyaksikan pameran, acara juga menyaksikan penyerahan sumbangan kepada YASKA dari Borneo Insider’s Guide (BIG) Magazine kerana berjaya mengumpul dana melalui Larian Hari Kanser Sedunia yang telah diadakan sepanjang bulan Februari tahun ini.
Acara ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak yang menghidap kanser dan talasemia supaya banyak melakukan pergerakan melalui aktiviti fizikal dan senaman yang selamat.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk pameran berbentuk poster yang mempunyai maklumat mengenai kanser dan talasemia, kempen derma darah dan beberapa aktiviti permainan yang memberi keceriaan kepada semua kanak-kanak.
Pada tahun ini, acara itu telah disertai sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Bank Baiduri bagi membantu dalam aktiviti berkenaan.
YASKA turut mengucapkan terima kasih atas sokongan Bank Baiduri dalam meningkatkan kesedaran kanser kanak-kanak sejak tahun 2011 dan bank berkenaan juga telah menyusun beberapa aktiviti untuk cancer survivor sehingga bulan Disember ini.
Dengan hari kesedaran berkenaan, orang ramai dapat mengetahui bahawa kanser juga menjejas kanak-kanak dan pengesanan awal dapat membantu meningkatkan survival.
