Oleh Daniel Lim
BELAIT, 23 OGOS – Dalam membantu mempromosikan pemahaman lebih mendalam mengenai kanser payudara dan kepentingan mendapatkan pemeriksaan kerap dalam kalangan kakitangan wanita dan rakan-rakan perniagaan, Brunei LNG Sdn Bhd telah menganjurkan Hari Kesedaran Kesihatan Wanita di premisnya di Lumut, hari ini.
Diadakan sebagai sebahagian daripada Program Gaya Hidup Sihat Brunei LNG de-ngan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, acara berkenaan diisikan dengan pelbagai aktiviti termasuk taklimat, pemeriksaan sendiri payudara dan pameran.
Acara berkenaan telah dilancarkan oleh Pengurus Sumber-sumber Manusia, Perhubungan dan Hal Ehwal Luar Brunei LNG, Dayang Mizan Adiliah binti Haji Mohamad Deli.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Mizan Adiliah menyatakan bahawa terdapat peningkatan besar dalam jumlah wanita di negara ini, berusia antara 25 hingga 50 tahun, yang telah didiagnosis dengan kanser payudara.
Menurutnya, perkembangan ini benar-benar membimbangkan dan semua mempunyai peranan untuk memastikan bahawa perkara berkenaan ditangani termasuk mencegahnya daripada merebak.

“Hari ini, kami memainkan peranan kami dengan cuba meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara kepada kakitangan kami dan rakan-rakan perniagaan.
“Kami membuat langkah pertama yang penting untuk meningkatkan kesedaran semua orang bahawa wanita boleh selamat daripada kanser payudara jika ia dikesan dan dirawat awal,” ujarnya.
Beliau menggalakkan semua orang menjaga kesihatan mereka, keluarga dan rakan-rakan dengan berkongsi maklumat mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Selepas ucapan, acara diteruskan dengan taklimat bertajuk Breast Cancer Awareness: Early Detection Saves Lives yang disampaikan oleh Pegawai Kejururawatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Azelina binti Haji Pauzi.