Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran kesihatan mental kanak-kanak

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan ibu bapa atau penjaga akan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak, Persatuan Mawar telah mengadakan forum ‘Kesihatan Mental dalam kalangan Kanak-kanak’ di Maven’s Hive, Kiulap, pagi tadi.

    Forum bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia itu telah disampaikan oleh Pegawai Psikologi Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Nur Hazwana binti Haji Mohd Zain dengan dihadiri oleh lebih 40 orang peserta termasuklah ahli-ahli persatuan tersebut.

    Antara yang disentuh dalam forum berkenaan ialah aspek kesedaran yang perlu dititikberatkan oleh para ibu bapa dan penjaga akan kepentingan kesihatan mental anak-anak mereka sekali gus dalam memastikan ketumbesaran fizikal dan perkembangan emosi mereka dalam keadaan optimum.

    Di samping itu, forum turut mengongsikan langkah-langkah bagi ibu bapa dan penjaga dalam membantu kanak-kanak menangani isu berkaitan dengan kesihatan mental mereka.

    Perlaksanaan usaha kesedaran sedemikian amat perlu ditingkatkan berikutan antara impak pandemik COVID yang menular di negara ini sehingga menjejaskan tahap kesihatan mental masyarakat tidak terkecuali golongan kanak-kanak yang belum matang dalam menangani tekanan yang dihadapi.

    Dengan pasca pandemik dan masih dalam keadaan yang kurang menentu, ia mungkin juga akan mengganggu mental dan emosi kanak-kanak. Oleh itu, para ibu bapa dan penjaga perlu memantau emosi dan perubahan tingkah laku anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

    Antara ibu bapa dan penjaga yang hadir pada sesi forum yang berlangsung di Maven’s Hive, Kiulap, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda