Oleh Daniel Lim
BELAIT, 6 OGOS – Sebagai usaha berterusan untuk menyebarkan maklumat mengenai demensia di seluruh negara, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Belait dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB) Kampung Pandan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Demensia Brunei, telah menjalankan taklimat mengenai tanda-tanda demensia dan banyak lagi.
Diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, pagi hari, majlis taklimat berkenaan menyaksikan penyertaan kira-kira 250 orang yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa yang menjaga warga emas serta ahli-ahli PMB Kampung Pandan bersama pegawai dan kakitangan dari jabatan dan cawangan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, perwakilan syarikat-syarikat swasta, persatuan, NGO, majlis perundingan kampung (MPK) dan warga emas dari kawasan sekitar.
Turut hadir mendengarkan taklimat berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.
Di samping menyebarkan maklumat mengenai demensia, taklimat juga diadakan sebagai metode efektif dalam mengambil berat terhadap mereka yang terjejas akibat demensia bukan sahaja oleh penjaga tetapi juga sebagai masyarakat, pada masa yang sama membantu meningkatkan kesedaran dan mengubah pemikiran mengenai pandangan negatif mengenai demensia.
Majlis diisikan dengan taklimat-taklimat mengenai demensia yang didahului oleh Naib Presiden Demensia Brunei, Dayang Irnawati binti Haji Mahir yang menggariskan 10 tanda demensia serta bagaimana menjaga mereka yang mengidap demensia sebagai komuniti.
Beberapa video turut ditayangkan sebagai tambahan kepada topik-topik yang dibincangkan dan pada penghujung taklimat, para hadirin turut diberikan peluang untuk bertanya soalan mengenai demensia serta berkongsi pengalaman mereka.
Dayang Irnawati ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berkata, sementara tiada rawatan saintifik bagi demensia tetapi dengan melengkapkan komuniti dan masyarakat dengan maklumat yang betul boleh memainkan faktor besar dalam membantu mereka yang terkesan.
Menurut beliau, pentingnya perubahan pemikiran masyarakat mengenai mereka yang terjejas oleh demensia dan dengan mengadakan taklimat seumpamanya, mereka berharap untuk mewujudkan platform di mana mereka membincangkan serta menyebarkan maklumat mengenai demensia.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan mengekalkan gaya hidup sihat serta amalan aktiviti mental yang berterusan boleh mempunyai impak positif yang berpanjangan ke atas individu dalam membantu membendung tanda-tanda demensia.
