Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Seramai 160 orang pelajar baharu Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro-Teknologi mengambil bahagian dalam Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) kendalian Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS) sebagai sebahagian daripada program minggu orientasi pada 27 Julai lalu.
Program HAPPY merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia yang dikendalikan oleh Majlis BDAIDS untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia.
Semasa program yang diadakan di IBTE Kampus Agro-Teknologi, mewakili Majlis BDAIDS untuk menyampaikan ceramah ialah ahli kumpulan HAPPY, Dayang Siti Nurzaimah Nazhirah binti Haji Zaim yang mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.
Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan disesuaikan kepada situasi tempatan.
