Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tingkat kesedaran mengenai HIV

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Golongan belia terus diberikan maklumat dan kesedaran mengenai HIV menerusi usaha yang dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

    Sehubungan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) di mana ia merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia.

    Program itu dikendalikan di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) yang dihadiri oleh seramai kira-kira 72 orang pelajar dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) yang dihadiri oleh kira-kira 54 orang pelajar dengan kedua-dua sesi program diadakan pada 18 November lalu.

    Pada kedua-dua program berkenaan, ceramah telah disampaikan oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan aktiviti-aktiviti dikendalikan bersama ahli-ahli pasukan HAPPY.

    Semasa ceramah berkenaan, Dayang Siti Kailene mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.

    Beliau turut menyatakan bahawa angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam sebarang tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.

    Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan disesuaikan kepada situasi tempatan.

    BDAIDS Council berharap supaya para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.

    ATAS & BAWAH: Pelajar SMSSA mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BDAIDS COUNCIL

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...