Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Tingkat kesedaran tangani kanser

    Oleh Syahmi Hassan

    Artikel diterjemah daripada Dr Jacob Justin dan Dr Vijay Kumar Srinivasalu

    Hari Kanser Sedunia merupakan acara tahunan yang berlangsung setiap 4 Februari untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser, menggalakkan pencegahan, pengesanan dan rawatannya.

    Ia bertujuan untuk mempromosikan penyelidikan, mencegah kanser, meningkatkan perkhidmatan pesakit, meningkatkan kesedaran, dan menggerakkan komuniti global untuk mencapai kemajuan dalam penjagaan kanser.

    Hari Kanser Sedunia telah ditubuhkan pada 4 Februari 2000 di Sidang Kemuncak Dunia Menentang Kanser untuk Alaf Baru di Paris, dan sejak itu Union of International Cancer Control (UICC) telah mengetuai inisiatif penyatuan global tersebut. Menurut UICC, kira-kira 10 juta orang di seluruh dunia mati akibat kanser setiap tahun. Menjelang akhir tahun 2030, pakar meramalkan bahawa ia akan meningkat kepada 13 juta kematian.

    Kesaksamaan dalam penjagaan kanser untuk semua: Kepentingan merapatkan jurang penjagaan

    Kita hidup dalam era kemajuan yang menakjubkan dalam bidang diagnosis dan rawatan kanser.

    Kemunculan diagnostik molekul telah membolehkan doktor menyesuaikan rawatan dengan mutasi gen tertentu individu, yang membawa kepada rawatan lebih berkesan dan kurang toksik.

    Terapi yang disasarkan ialah ubat yang direka untuk menyerang sasaran tertentu pada sel kanser sambil meminimumkan bahaya kepada sel normal di sekelilingnya. Ubat-ubatan ini telah menunjukkan hasil yang menjanjikan dalam rawatan pelbagai jenis kanser dan meningkatkan kelangsungan hidup bagi ramai pesakit.

    Imunoterapi adalah ubat yang membantu sistem imun mengenali dan menyerang sel-sel kanser.

    Rawatan ini amat berkesan dalam merawat jenis kanser tertentu, seperti melanoma dan kanser paru-paru, dan telah meningkatkan kelangsungan hidup dalam kebanyakan pesakit.

    Tetapi walaupun adanya kemajuan ini, separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada rangkaian penuh perkhidmatan penjagaan kesihatan dan keadaan menjadi lebih teruk selepas pandemik COVID19.

    Cegah kanser dengan mengawal faktor risiko awda.

    Menurut WHO, hampir satu pertiga daripada kanser boleh dicegah dengan mengubah suai faktor risiko yang diketahui untuk kanser.

    Tembakau sahaja menyebabkan 8 juta kematian setiap tahun dan menyumbang sekurang-kurangnya 25 peratus daripada semua kematian akibat kanser.

    Di Negara Brunei Darussalam, risiko seumur hidup untuk menghidap kanser adalah satu dalam empat untuk lelaki dan satu dalam tiga pada wanita.

    Menurut data dari Pejabat Pendaftaran Kanser Brunei Darussalam (BDCR), tiga kanser teratas pada lelaki adalah kanser kolorektal, paru-paru dan prostat manakala pada wanita tiga kanser teratas adalah kanser payudara, kolorektal dan rahim.

    Insiden kanser pada lelaki dan wanita telah meningkat secara berterusan. Terdapat peningkatan sebanyak 22.8 peratus dalam bilangan pesakit kanser baharu yang didiagnosis dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2019, berbanding 2010 hingga 2014.

    Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan kempen kesedaran kesihatan secara berkala yang menekan-kan kepentingan pemakanan sihat, senaman yang kerap, dan pantang merokok.

    Ia juga telah mengambil langkah berani untuk mengharamkan penjualan rokok dan produk tembakau di dalam negara sejak 2005 yang boleh membantu mengurangkan kejadian kanser berkaitan tembakau di negara ini.

    Pengesanan awal adalah kunci

    Terdapat data kukuh yang menunjukkan kira-kira satu pertiga daripada semua kematian kanser boleh dicegah melalui pemeriksaan rutin, pengesanan dan rawatan awal.

    Dengan ujian saringan boleh didapati untuk beberapa kanser biasa.

    Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (NHSP) yang menawarkan saringan untuk tiga jenis kanser iaitu kolorektal, payudara, dan serviks. Yang mana saringan untuk kanser kolorektal dan payudara telah tersedia sejak tahun 2019.

    Jabatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCP) di PJSC telah beroperasi sejak 2019, menyediakan perkhidmatan pengesanan awal dan saringan untuk pelbagai jenis kanser biasa di Brunei.

    Selain itu, ia menawarkan pendidikan dan kaunseling genetik dan ujian untuk ahli keluarga berisiko tinggi. Program EDCP menyokong dan meningkatkan usaha NHSP dan secara aktif mempromosikan kesedaran kanser melalui inisiatif jangkauan komuniti.

    Bersatu untuk penjagaan dan ekuiti kanser yang lebih baik

    Kesimpulannya, Hari Kanser Sedunia 2023 adalah peluang untuk berada di platform global bersama komuniti kanser dari negara lain, untuk membincangkan cabaran kita dan mencari penyelesaian. Ia juga memberi kita peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh pesakit kanser dan menyokong penambahbaikan dalam penjagaan kanser.

    ‘Merapatkan jurang penjagaan’ ialah aspek penting dalam usaha ini, kerana ia memastikan semua pesakit, tanpa mengira latar belakang atau lokasi mereka, mempunyai akses kepada tahap penjagaan kanser berkualiti yang sama

    Ini memerlukan usaha kolaboratif daripada penyedia penjagaan kesihatan, penggubal dasar dan komuniti, serta pelaburan dalam penyelidikan, pendidikan dan inovasi.

    Dengan bekerjasama, kita boleh merapatkan jurang dalam rawatan kanser dan menyediakan semua pesakit dengan harapan, sokongan, dan sumber yang mereka perlukan untuk melawan penyakit tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...