Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 26 OGOS – Bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi apa jua cabaran bencana yang berkemungkinan berlaku, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
(KHEDN) telah mengadakan Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah di Dewan Sekolah Menengah Tanjong Maya (SMTM), Daerah Tutong yang diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil, kelmarin.
Program dua hari itu dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada seramai 35 orang penuntut Tahun 9 termasuk tiga orang fasilitator dan dua orang guru pengawas program berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Turut hadir ialah Pengarah NDMC, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd
Jamin; Pemangku Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman, pemangku timbalan pengetua pentadbiran SMTM, pegawai-pegawai serta kakitangan NDMC dan SMTM.
Menerusi program berkenaan, para peserta berpeluang untuk mengetahui fungsi dan peranan NDMC di samping menimba pengetahuan dan pengalaman untuk sentiasa bersiap sedia dalam berdepan dengan sebarang kejadian bencana dengan melakukan tindakan yang betul dan selamat.
Selain itu, para penuntut juga mengikuti latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Don’ts sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana, Nature Power, Grab Bag,
Hazard Visit dan Membentuk Pelan Tindakan Menghadapi Bencana di Sekolah untuk kesiapsiagaan warga sekolah.
