Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – EXCO Leadership Development & Mentor iaitu salah satu komiti eksekutif di bawah Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah mengadakan Majlis Penutup Program Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar ke-7 di Dewan Kuliah 2, Fasa 3, UTB.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Penolong Naib Canselor (Industri & Perkhidmatan), Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta program berkenaan.
Program kepimpinan yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu telah bermula 6 Julai lalu hingga hari ini di Pantai Rekreasi Hutan Simpan Berakas.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program berkenaan termasuk ceramah motivasi oleh Awang Mohammad Najib bin Latif dari ‘Generasi Berkarih’ dan Al-Huffaz Management.

Selain itu, satu perlumbaan kepimpinan juga telah diadakan di ibu negara bersempena dengan Bandarku Ceria, di mana perlumbaan berkenaan menandakan berakhirnya aktiviti para peserta. Aktiviti berkenaan menguji kemahiran yang mereka pelajari daripada program itu, yang memerlukan mereka untuk berinteraksi dengan orang ramai.
Program itu bertujuan untuk menjadi platform bagi pembangunan karakter dan memberi inspirasi kepada belia untuk menjadi lebih yakin dalam ucapan umum terutama dalam membina prospek masa depan dan kerjaya mereka.