Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Tingkat mutu pengajaran Bahasa Arab di sekolah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Pengajaran Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam dilihat semakin berkembang, baik dalam institusi pendidikan formal mahupun tidak formal.

    Melihat kepada perkembangan baik itu, terdapatnya keperluan bagi guru-guru Bahasa Arab untuk diberikan pengetahuan dan kemahiran asas mengenai konsep kaedah pengajaran Bahasa Arab bagi mendapatkan hasil pengajaran yang baik.

    Ke arah itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Bahasa mengadakan Bengkel Pengenalan Awal Pengajaran Bahasa Arab (PAPBA) untuk 240 guru agama yang akan bermula 28 September hingga 19 November 2022.

    Perasmian bengkel berkenaan telah berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Turut hadir ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan KUPU SB serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan ucapan perasmian Bengkel PAPBA.
    Antara yang hadir pada majlis perasmian bengkel tersebut.

    Dalam ucapan perasmiannya, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim antara lain menjelaskan bahawa bengkel berkenaan adalah sangat diperlukan dan bermanfaat dalam meningkatkan mutu pengajaran Bahasa Arab di peringkat sekolah rendah agama.

    “Ia bertepatan dengan fungsi KUPU SB dalam menyediakan guru-guru agama terlatih dan profesional yang tidak hanya terhad kepada pelajar saja tapi kepada penjawat awam yang memerlukan khidmat KUPU SB,” ujarnya.

    Beliau seterusnya berharap, bengkel tersebut akan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pengetahuan asas yang terpenting dalam pengajaran bahasa; terdiri dari penulisan persediaan mengajar, pelaksanaannya dan juga penilaiannya.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada 20 peserta Bengkel Lughatul Mu’allim siri 5.0 yang telah diadakan pada 2021.

    Bengkel PAPBA merupakan program intensif yang direka sebagai pengenalan awal dalam jangka masa pendek dan dihasratkan untuk menampung keperluan khas guru dari segi pengetahuan dan kemahiran asas pedagogi yang disampaikan melalui kuliah, perbincangan dan latihan singkat.

    Matlamat utamanya adalah bagi menanamkan keyakinan peserta dalam pengajaran Bahasa Arab, selain memberi kefahaman mengenai konsep asas mendidik, mengajar dan melatih serta penyediaan rancangan pengajaran Bahasa Arab.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...