Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat pengetahuan tentang isu semasa

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Jabatan Penerangan

    TUTONG, 10 FEB – Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Jemaah Muslimah Masjid-masjid Mukim Keriam, Daerah Tutong diteruskan kelmarin dengan beberapa taklimat disampaikan oleh para pegawai dari Jabatan Penerangan dan beberapa lagi agensi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jemaah telah mendengar taklimat bertajuk ‘Jenayah Siber’ disampaikan oleh Pegawai Operasi dari Cyber Security Brunei, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi.

    Beliau antara lainnya menyentuh mengenai perkongsian maklumat peribadi terperinci secara dalam talian yang mana boleh digunakan oleh penjenayah siber dengan mengeksploitasinya secara mudah untuk melakukan jenayah terancang.

    Peserta juga didedahkan dengan jenayah siber lain bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan teknologi media sosial, seperti buli siber dan penipuan dalam talian atau scamming atau pishing serta peras ugut.

    Selain itu, ia turut menyentuh Akta Penyalahgunaan Komputer Brunei, ancaman dalam talian seperti ransomware dan kebaikan serta keburukan membeli-belah dalam talian yang menjadi trend pada masa ini.

    Antara yang menyampaikan taklimat semasa program berkenaan.

    Jemaah Muslimah dari masjid-masjid di Mukim Keriam, Daerah Tutong yang mengikuti Program Masyarakat Bermaklumat.

    Sementara taklimat kedua pula mengenai ‘Konsep Makanan Halal dalam Islam’, disampaikan oleh Guru Ugama Terlatih, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hardewi binti Haji Hassim mengenai peranan Jawatankuasa Pemeriksaan Sijil Halal dan Label Halal (AJKP) dan proses permohonan Sijil Halal.

    Manakala Ketua Perniagaan Runcit Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Haji Shahruddin bin Haji Abdul Wahid dan Penasihat HSSE Perniagaan Runcit BSM, Awang Norasman bin Suleiman dalam taklimat mereka menyentuh mengenai Kempen Isi Selamat Rasa Selamat: Pematuhan Garis pandu dan Peraturan di Stesen Minyak.

    Ini antara lain bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai terutama kepada pelanggan yang datang ke stesen-stesen minyak agar dapat mematuhi langkah-langkah dan garis panduan keselamatan sebelum, semasa dan selepas membuat pengisian minyak di stesen minyak.

    Di samping itu turut dikongsikan beberapa cabaran yang dihadapi oleh Juara Servis dan insiden-insiden yang pernah berlaku di stesen minyak.

    Manakala pada sebelah petang peserta PMB mendengarkan taklimat bertajuk ‘Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam’ disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

    Taklimat beliau antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah; masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.

    Program hari kedua berakhir dengan lawatan ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei untuk memperkenalkan dan memperlihatkan secara dekat produk-produk kain-kain Tenunan Brunei yang dipamerkan di tujuh galeri pameran seperti Galeri Pameran Tenunan, Galeri Songkok, Galeri Batik, Galeri Perak, Galeri Anyaman, Galeri Tembaga dan Galeri Seni Ukir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda