Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tingkat penyelidikan genomik biodiversiti

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) yang merupakan sebuah institut usaha sama oleh SingHealth dan Duke-NUS Medical School telah memeterai perjanjian kerjasama yang berlangsung di National Cancer Centre Singapore (NCSS), Singapura, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan menandatangani bagi pihak SingHealth ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SingHealth, Profesor Ivy Ng.

    Perjanjian kolaborasi berkenaan merupakan salah satu inisiatif bersama oleh Institut bagi Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar (IBER), UBD dan BD-MED bagi menubuhkan Makmal Bersama Genomik Biodiversiti IBER/BD-MED di Universiti Brunei Darussalam.

    IBER merupakan sebuah institut penyelidikan di UBD yang aktif dalam penyelidikan ekologi tropika, pemuliharaan biodiversiti, kajian ekosistem dan penyelidikan gunaan. BD-MED bermatlamat untuk memacu penyelidikan biodiversiti bagi mempromosikan semua aspek kesejahteraan dan kesihatan manusia. Kedua-dua entiti berkenaan telah memeterai sebuah memorandum persefahaman pada 2022.

    Makmal bersama itu akan me-ngukuhkan lagi kerjasama sedia ada dalam genomik biodiversiti bagi mendapatkan hasil relevan kepada penemuan metabolit dan pemuliharaan.
    Sehingga kini, IBER dan BD-MED telah melaksanakan tiga kajian genomik tumbuh-tumbuhan bersama termasuk kajian terhadap bunga kebangsaan negara, bunga simpur. Di samping itu, beberapa aktiviti termasuk bengkel genomik, latihan makmal dan seminar telah dikendalikan di IBER dan BD-MER.

    Penubuhan makmal bersama itu akan membolehkan aktiviti penyelidikan genomik lanjutan ke atas flora dan fauna Negara Brunei Darussalam bagi dilaksanakan di UBD. Ia juga akan membolehkan latihan dan pemba-ngunan kapasiti bagi penyelidik serta pelajar-pelajar di kedua-dua buah institut yang dikendalikan di makmal bersama itu.

    Makmal itu juga akan menubuhkan sebuah pangkalan data maklumat genomik, profil kimia dan sumber biodiversiti yang mantap bagi inisiatif pemuliharaan dan penyelidikan saintifik.

    Majlis penandatanganan berkenaan merupakan sebahagian daripada acara pelancaran SGH Bicentennial Genomic Garden iaitu sebuah taman berkeluasan 3,400 meter persegi di dalam kampus Singapore General Hospital serta juga pembukaan Makmal BD-MED.

    Dr Hazri dan Profesor Ivy Ng menandatangani perjanjian kerjasama. – GAMBAR SERAHAN UBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...