Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Para pemimpin sukarelawan perlu berkebolehan untuk menarik masyarakat dalam bidang kerja sukarela, mengekalkan dan mengukuhkan minat berkenaan serta membangunkan program sukarelawan supaya lebih tersusun dan menyeluruh.
“Saya percaya bahawa sebahagian ahli sukarelawan Yayasan terdiri daripada anggota masyarakat yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam berbagai-bagai bidang dan sudah lama berkecimpung dan melibatkan diri dalam kerja-kerja
kebajikan.”
Seruan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam ucapannya pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Yayasan yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d’Seni, kelmarin.
Dalam hubungan itu, beliau berharap Bahagian Data dan Sukarelawan dan Bahagian Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial akan dapat mempertingkatkan program latihan untuk ahli-ahli sukarelawan dalam pembangunan keupayaan kesukarelawanan bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus dan membangunkan program kemasyarakatan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan yakin bahawa platform kesukarelawan yang ada, akan dapat memberikan ruang kepada setiap lapisan masyarakat sama ada di peringkat kumpulan atau individu untuk sama-sama menyumbang kepada mewujudkan persekitaran yang kondusif demi kesejahteraan bersama secara inklusif dan mendukung kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
“Walaupun berbagai-bagai projek dan aktiviti kesukarelawanan serta pemberian bantuan telah berjaya dilaksanakan, kita masih lagi mendengar berita-berita yang tular melalui media sosial daripada sebilangan kecil masyarakat kita yang menghadapi kesukaran dan kesusahan,” ujarnya.
Beliau melihat perkara itu sebagai peluang untuk badan atau kumpulan sukarelawan untuk be-kerjasama dan berganding bahu dalam sama-sama memberikan bantuan yang diperlukan secara terarah dan tersusun.
Salah satu mekanisme yang difikirkan dapat menangani isu berkenaan, ulasnya, ialah perkongsian data yang telus dan tepat pada masa.
“Ke arah itu, saya sangat mengalu-alukan sebarang cadangan atau pandangan untuk meningkatkan lagi keupayaan atau penggunaan Sistem Kebajikan Negara di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) agar kemaslahatan golongan sasaran yang memerlukan bantuan dapat ditangani secara holistik dan bersatu padu,” tambah beliau.
Seramai 240 orang ahli sukarelawan yang aktif menyumbang khidmat bakti dalam menjayakan projek-projek dan aktiviti-aktiviti Yayasan sepanjang 2021 hingga 2022 menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan.
Unit Sukarelawan Yayasan yang ditubuhkan pada 9 Januari 2005, merupakan satu platform untuk membolehkan sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat menjadi sukarelawan untuk tampil ke hadapan menyalurkan sumbangan khidmat bakti mereka dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti kebajikan terutamanya dalam perkhidmatan masyarakat.