Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya, Brunei LNG Sdn Bhd menganjurkan jerayawara selama dua hari bermula hari ini di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC).

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat majlis dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

    Ia dihoskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida Dato Seri Paduka Haji Talib dan ahli-ahli Pasukan Kepimpinan Brunei LNG.

    Jerayawara yang membawa slogan ‘Keselamatan Jalan Raya Bermula dengan Saya’ bagi menekankan 10 Peraturan Menyelamatkan Nyawa.

    Matlamat 10 Peraturan Menyelamat Nyawa adalah untuk mencegah bahaya, menyelamatkan nyawa kita dan orang ramai, meliputi aktiviti yang membuktikan kegagalan untuk mematuhi mempunyai potensi tertinggi untuk mendatangkan kecederaan serius atau kematian.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyaksikan pameran, kelmarin.- Gambar oleh Daniel Lim
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi melawat salah sebuah petak pameran semasa jerayawara berkenaan.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa merasmikan jerayawara kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Brunei LNG, sejak beberapa tahun lalu, kempen tersebut hanya diadakan untuk kakitangan yang bekerja untuk Brunei LNG dan ini adalah kali pertama syarikat itu menganjurkan jerayawara yang bertujuan untuk disebarkan kepada orang ramai.

    Di Brunei LNG, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua orang dan sebagai sebuah organisasi, pemedulian mereka termasuklah apabila orang ramai berada di jalan raya semata-mata bagi keselamatan keluarga, diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    Antara objektif jerayawara tersebut adalah bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat di negara ini ke arah mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian, di samping menyediakan platform untuk agensi kerajaan dan sektor swasta berkongsi maklumat terkini, inisiatif dan dasar kepada semua pengguna jalan raya termasuklah pemandu, penunggang motosikal, penunggang basikal dan pejalan kaki.

    Jerayawara tersebut turut berkongsi amalan terbaik untuk memastikan keluarga selamat melalui pentingnya penggunaan tali pinggang keselamatan atau kerusi kereta kanak-kanak, memeriksa keadaan tayar dan cara menyelenggarakannya, serta menguruskan perjalanan di jalan raya yang mana adalah selaras dengan komitmen Brunei LNG kepada Matlamat Sifar, Setiap Hari Kita Kembali Dengan Selamat kepada Orang Tersayang, dan strategi Pelaburan Sosial Brunei LNG di bawah Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat, sebagai sokongan kepada MKKJR: Rancangan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei 2025.

    Turut hadir semasa pelancaran jerayawara itu ialah pegawai kanan kerajaan, dan pihak berkepentingan Brunei LNG daripada komuniti Mukim Liang Lumut.

    Selepas pelancaran, Yang Berhormat Pengiran Dato telah dibawa melawat petak-petak pameran dan aktiviti-aktiviti di jerayawara tersebut.

    Hajah Farida semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menekankan komitmen Brunei LNG terhadap keselamatan dan bagaimana frasa ‘biar lambat, asal selamat’ kekal relevan terutamanya dalam keadaan yang lewat.

    Acara mengetengahkan pameran, aktiviti, forum dan ceramah yang dibuka kepada orang ramai dari semua peringkat umur, dari pukul 9 pagi hingga 4 petang, dan diadakan dengan kerjasama agensi-agensi daripada sektor kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

    Ini termasuk MKKJR, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA), Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam (BDCF), Persatuan Motosikal Brunei Darussalam (PEMODA), Persatuan Peniaga Automobil Brunei (BATA),Mahkota Maju Sdn Bhd dan Mothercare Brunei.

    Forum ‘Kenali hak dan tanggungjawab awda sebagai pengguna jalan raya’ disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dayang Mauludnah binti Haji Mohamad Nudin, dan Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya, Haji Mat Darus bin Haji Abu Bakar serta dikendalikan oleh Awang Muhammad Hassanal Adilah bin Mohd Junaidi dari Facilities Maintenance Lead, di Brunei LNG

    Ceramah pertama mengetengahkan SiKAP, statistik dan etika kemalangan jalan raya telah disampaikan oleh Haji Mohammad Syafien bin Yandol dari Sekretariat MKKJR yang juga mewakili MKKJR.

    Ceramah kedua pula mengenai perkara utama yang perlu diketahui orang ramai mengenai insurans telah disampaikan oleh Eksekutif Tuntutan National Insurance Company Berhad, Dayang Nurfarah Hannani binti Zafari.

    Jerayawara itu dianjurkan oleh Brunei LNG Goal Zero Team – Road Safety yang terdiri daripada kakitangan daripada pelbagai disiplin dan wakil rakan perniagaan yang mementingkan keselamatan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda