Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan semangat raih keberkatan Ramadan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Dalam usaha meningkatkan semangat dalam meraih keberkatan di bulan suci Ramadan yang mulia ini, pelajar sepenuh masa bagi Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (DPULI) sesi 2021/2022, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan aktiviti Ready. Set. Ramadan.

    Menurut kenyataan KUPU SB, program berkenaan merupakan program penilaian bagi para pelajar Program DPULI dan Sarjana Perguruan Ugama (SPU) sesi 2021/2022 yang telah dirancang selari dengan sukatan pelajaran Kursus Pengurusan Kokurikulum di bawah naungan Pusat Ilmu Teras, KUPU SB bagi memberi peluang kepada para pelajar menceburi bidang selain akademik, iaitu kemahiran interpersonal dan intrapersonal.

    Ini termasuk menguji daya ketahanan dan semangat berpasukan dalam mengendalikan program tersebut secara dalam talian.

    Pengerusi Program, Awang Abu Yazid al-Busthami bin Haji Abas turut merumuskan, program berkenaan julung-julung kalinya diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan bagi menjana ilmu pengetahuan dan mengongsikan maklumat-maklumat penting tentang berpuasa di bulan Ramadan.

    Tajuk-tajuk yang disampaikan ialah ‘Kepentingan Sahur dan Lailatul Qadar’ dan ‘Petua Kekal Bersemangat Menjalani Amal Ibadah di Bulan Ramadan’.

    Antara aktiviti tambahan yang diadakan untuk menarik minat pelajar ialah kuiz bagi setiap tajuk yang telah disampaikan. Hanya 10 peserta yang tertinggi digelar sebagai pemenang bagi setiap kategori.

    Sasaran peserta bagi program ini ialah alumni pelajar dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan sekolah-sekolah menengah Arab yang lainnya. Walau bagaimanapun, program berkenaan juga telah mendapat sambutan daripada orang ramai.

    Antara ahli Jawatankuasa Kerja bagi Program Ready. Set. Ramadan yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan KUPU SB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda