Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Pendigitalan yang dipercepatkan semasa pandemik COVID telah meningkatkan bilangan aplikasi berkaitan internet dan potensi pendedahan kepada serangan siber.
Menurut Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) dalam kenyataannya, perniagaan boleh mengukuhkan aplikasi mereka dan mengurangkan eksploitasi siber dengan mengambil strategi proaktif untuk melaksanakan ujian penembusan.
Ujian penembusan, yang juga dikenali sebagai PenTest, merupakan kaedah menilai kelemahan sistem komputer, rangkaian atau aplikasi web secara proaktif.
Dengan mensimulasikan serangan siber untuk mencabar pertahanannya dan mengenal pasti kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh penggodam, organisasi boleh mengambil langkah pembetulan dan/atau mitigasi sebelum serangan sebenar berlaku.
Sehubungan itu, Portfolio Keselamatan Siber dari UNN kini merangkumi PenTest-as-a-Service (PTaaS) sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menyokong pendigitalan Brunei di bawah Wawasan Brunei 2035.
Dengan PTaaS UNN, organisasi di Brunei boleh mendapatkan akses kepada pakar keselamatan siber, mengurangkan eksploitasi siber dan melindungi aset digital mereka, seperti data pelanggan, maklumat kewangan dan sebagainya.
Perniagaan atau organisasi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang PTaaS UNN bolehlah menghubungi Pasukan Jualan UNN di digital.solutions@unn.com.bn atau layari www.unn.com.bn/penetration-testing untuk mendapatkan maklumat lanjut.