Oleh Salawati Haji Yahya –
BELAIT, 18 OKT – Rombongan seramai 11 ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) meneruskan lagi lawatan ke beberapa lokasi tapak-tapak perusahaan pertanian dan perhutanan, hari ini.
Lawatan itu merupakan siri lawatan kedua yang bertujuan memberi kefahaman serta membarigakan perkembangan dan pencapaian terkini yang telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan pengusaha dalam memastikan keluaran serta sumbangan dari sektor sumber-sumber utama dan pelancongan kepada pertumbuhan KDNK terus meningkat tahun ke tahun.
Program lawatan kerja juga diatur bagi memberikan pendedahan kepada rombongan mengenai teknik serta sistem perladangan moden dan teknologi-teknologi terkini yang diguna pakai oleh pengusaha-pengusaha dalam meningkatkan produktiviti dan hasil keluaran perusahaan masing-masing.
Turut menyertai lawatan ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, timbalan setiausaha tetap, pemangku pengarah pertanian dan agrimakanan serta para pegawai kanan dari kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Ladang pertama yang dilawat oleh rombongan ialah Golden Chick Livestock Farm Sdn Bhd di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sungai Petai di Daerah Belait dengan keluasan 10 hektar.
Syarikat itu dimiliki dan diurus oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Metassim, Ong Chek Teng, Ong Chek Thiam dan Ang Kin Hoo bagi mengusahakan perusahaan ternakan ayam penelur yang mana ladang ini mula dimajukan pada tahun 2016 dengan kaedah teknologi tinggi serta sistem reban tertutup.
Penternakan ayam penelur dengan sistem ini berupaya menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi di mana kapasiti sebuah reban boleh memuatkan sehingga 34,000 ekor ayam berbanding reban ayam secara konvensional.
Syarikat itu juga merupakan syarikat tempatan pertama yang berjaya mengeksport keluaran hasil telurnya ke Singapura sejak November 2022.
Ahli-ahli MMN seterusnya dibawa meninjau ke ladang WYWY Farm Sdn Bhd di KKP Merangking yang mula bergiat pada tahun 2019 ini diurus oleh Liew Tai Khiun bagi menjalankan aktiviti perusahaan penanaman durian dan kelapa serta tanaman sampingan.
Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 37 pekerja, di mana empat daripadanya adalah anak tempatan. Lawatan rombongan berakhir di Syarikat TS Wood Sdn Bhd yang terletak di Lot 5651, Hutan Simpan Pengkajian Bukit Sawat, Sungai Mau, Labi.
Syarikat itu bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti perusahaan pemprosesan hiliran perkayuan di atas tapak seluas 12 ekar.
Antara produk perkayuan yang dihasilkan ialah pintu, komponen-komponen pintu, bingkai pintu, pelbagai komponen perabot, moulding dan veneer.
Dengan penghasilan keluarannya sekitar $4 juta setahun, syarikat itu merupakan penyumbang utama dalam industri perkayuan hiliran dan nilai tambah, dengan kebanyakan produk perkayuan telah menembusi pasaran antarabangsa, terutamanya ke Korea dan Malaysia.
Pada masa ini, pihak syarikat menggaji 108 tenaga pekerja, di mana sembilan daripadanya ialah anak tempatan.
Program lawatan ahli-ahli MMN akan diteruskan dengan siri lawatan ketiga ke tapak-tapak perusahaan perikanan dan pelancongan yang dijadualkan 7 November.