Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tinjauan pastikan kelancaran majlis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Bagi memastikan Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, Tahun 2023 berjalan dengan lancar, jawatankuasa kerja acara keagamaan berkenaan telah membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut.

    Hadir semasa tinjauan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Juga hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

    Majlis kesyukuran berkenaan akan diadakan esok mulai pukul 4:45 petang di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Selain tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, acara keagamaan berkenaan juga akan diadakan di beberapa buah masjid di seluruh negara yang juga dijadikan tumpuan iaitu Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan bagi Daerah Brunei dan Muara.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim semasa membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut.

    Manakala bagi Daerah Belait, tumpuan majlis ialah di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.

    Bagi Daerah Tutong pula akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, sementara bagi Daerah Temburong, di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama memanjatkan kesyukuran sempena Hari Kebangsaan ke-39.

    Para jemputan, ahli jawatankuasa dan orang ramai yang akan hadir ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan masjid-masjid tumpuan yang lain dinasihatkan untuk melakukan ujian pantas antigen (ART) di rumah masing-masing dan memuat naik keputusannya ke aplikasi BruHealth pada hari majlis berkenaan, kemudian menunjukkan keputusan ART yang negatif melalui aplikasi BruHealth kepada penyambut tetamu atau ahli jawatankuasa yang bertugas.

    Manakala, individu yang mempunyai simptom-simptom seperti demam panas, batuk, selesema, dan masalah pernafasan adalah dinasihatkan untuk tidak menghadiri majlis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...