Wednesday, September 25, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip pancing ikan ungah

    Oleh Raz AS

    Ikan ungah juga dikenali sebagai siakap merah atau kakap merah di negara jiran, dengan nama saintifiknya lutjanus argentimaculatus, merupakan spesies ikan daripada keluarga lutjanidae.

    Dalam bahasa Inggeris terutama di Australia, ikan ini dikenali dengan nama mangrove jack atau mangrove snapper di Amerika Syarikat.

    Warna ikan ungah boleh berbeza antara satu sama lain bergantung pada keadaan perairan dan usianya, ada yang berwarna kejinggaan, berwarna tembaga, gangsa dan merah gelap.

    Ikan ungah yang berusia lebih muda yang ditangkap di kawasan estuari selalunya mempunyai warna yang lebih gelap berbanding ikan ungah yang ditangkap di laut di kawasan terumbu karang.

    Seperti ikan-ikan lainnya daripada keluarga lutjanidae, ikan ungah mempunyai gigi yang tajam seakan-akan taring pada rahangnya yang digunakan untuk menyerang dan memegang mangsanya. Ikan ini juga sangat agresif dan dapat mendatangkan kecederaan kepada pemancing-pemancing yang kurang waspada mengendalikannya.

    Ikan ungah merupakan spesies buruan ramai kaki pancing. – GAMBAR OLEH ADDICT TACKLE
    Ikan ungah menghuni kawasan berbakau, di mana ia selalunya bersembunyi di celah-celah akar bakau terutama ketika air pasang dalam. – GAMBAR OLEH MARK SHEPHERD

    Ikan ungah adalah spesies pemangsa yang nokturnal. Ia mula aktif mencari mangsanya pada waktu malam yang terdiri daripada ikan, krustasea dan moluska. Ikan ungah akan bersembunyi di kawasan-kawasan berstruktur untuk menyerang hendap mangsanya.

    Ikan ungah juga merupakan spesies buruan ramai kaki pancing kerana pecutannya setelah menyambar umpan.

    Ramai pemancing berputih mata kerana gagal menghalang ikan ini daripada masuk ke dalam struktur disebabkan terleka.

    Bagi kawasan pesisir dan estuari antara tempat-tempat yang menjadi hot spot ikan ungah adalah seperti:

    TEMBOK BATU

    Kawasan-kawasan bertembok batu atau pemecah ombak sememangnya kawasan yang terkenal dihuni oleh banyak spesies muara termasuklah ikan ungah. Meskipun begitu, memancing di kawasan tembok batu ini mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri yang tidak kurangnya juga boleh memeningkan kepala kita. Salah satu daripadanya adalah risiko sangkut yang sangat tinggi.

    Oleh itu, selain memancing di kawasan bahagian tembok batu yang terlindung daripada pergerakan arus, waktu terbaik untuk memancing di kawasan tembok batu ini adalah ketika arus bergerak perlahan agar pancing tidak mudah hanyut.

    Salah satu waktu yang paling sesuai untuk menduga kawasan ini juga adalah pada waktu air surut rendah kerana pada waktu ini ikan-ikan akan keluar dari tempat persembunyiannya di celah-celah batu, berbanding ketika air dalam di mana ikan-ikan selalunya hanya akan duduk diam menunggu mangsa melintas di hadapan tempatnya bersembunyi.

    TIANG JETI DAN JAMBATAN

    Tiang-tiang jeti dan jambatan juga merupakan salah satu struktur binaan manusia yang boleh menjadi hot spot tempat ikan ungah berlindung dan mencari makan. Tiang-tiang ini memberikan tempat perlindungan ikan-ikan untuk berehat daripada arus atau sebagai tempat bersembunyi untuk menyerang hendap mangsanya.

    Selain itu, bayang-bayang yang terhasil daripada binaan di atas tiang tersebut, seperti jeti atau jambatan, memberikan ikan tempat berlindung daripada cahaya terik atau menyembunyikan kehadirannya daripada pemangsa dari atas terutama di kawasan perairan yang cetek.

    Tambahan lagi, pada waktu malam cahaya lampu dari jeti dan jambatan boleh menarik perhatian ikan-ikan kecil untuk berkumpul di sana.

    Ketika inilah peluang ikan ungah untuk keluar berkeliaran bagi menyerang hendap anak-anak ikan tersebut di kawasan di mana capaian cahaya lampu tersebut mulai malap.

    KAWASAN BERBAKAU

    Seperti mana namanya yang mengandungi perkataan mangrove dalam bahasa Inggeris, setentunyalah ikan ungah menghuni kawasan berbakau, di mana ia selalunya bersembunyi di celah-celah akar bakau terutama ketika air pasang dalam.

    Memancing di kawasan berbakau mempunyai risiko sangkut yang tinggi tetapi tidaklah seteruk dengan kawasan seperti tembok batu, oleh yang demikian waktu terbaik juga adalah ketika air surut di mana ikan ungah akan keluar dari celah-celah akar bakau tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda