Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Tip penting penjagaan tayar kereta

    Tayar kereta merupakan salah satu komponen kereta yang teramat penting yang perlu dijaga bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang di atas jalan raya.

    Sedikit sahaja kerosakan atau ‘kecacatan’ pada permukaan tayar kereta mampu menjejaskan pengendalian kereta, selain boleh menjejaskan keberkesanan pada brek kenderaan. Ia secara tidak langsung mampu membahayakan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

    Jadi sebagai pemilik kereta yang bertanggungjawab, adalah amat penting untuk awda memastikan keempat-empat biji tayar kereta awda berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

    Kali ini, artikel daripada laman blog BJAK akan mengongsikan kepada awda tip penjagaan tayar kereta yang awda boleh ikuti dan jadikan panduan.

    KEKALKAN TEKANAN ANGIN TAYAR

    Tahukah awda bahawa tekanan angin tayar perlu diperiksa pada setiap bulan? Apabila tayar kereta awda kurang tekanan, kapasiti muatan tayar akan berkurangan, manakala rintangan putaran roda pula akan bertambah. Ini seterusnya akan menyebabkan haba bertambah dan berlaku kerosakan mekanikal.

    Apabila kedalaman bunga mencapai takat 3mm, awda disarankan untuk menggantikan tayar. – Envato Elements
    Pastikan awda mengekalkan tahap tekanan angin tayar kereta awda setiap bulan. – Envato Elements
    Stereng kereta yang bergegar dengan kuat sepanjang perjalanan sehingga mengganggu pemanduan merupakan petanda awda harus melakukan balancing. – Envato Elements

    Awda boleh memeriksa dan mengisi semula tekanan angin tayar kereta awda ketika mengisi minyak petrol di mana-mana stesen minyak dan ia adalah percuma sahaja. Ikuti cara-cara di bawah ini untuk mengisi tekanan angin pada tayar:

    Pertama sekali, tetapkan meter tekanan tayar (bacaan psi) yang bersesuaian untuk kereta (pada kebiasaannya awda boleh ketahui berapakah bacaan psi yang sesuai pada bahagian pintu kereta pemandu).

    Kemudian, cucukkan alat pemeriksa tekanan angin pada injap tayar. Bunyi berdesir ketika mengepam tayar kereta awda merupakan angin yang terkeluar ketika menggunakan alat tersebut. Jangan risau, ia bagaimanapun tidak akan mengubah tekanan angin tayar kecuali kalau awda gunakan alat tersebut terlalu lama.

    Akhir sekali, jika awda merasakan bahawa tayar tersebut terlebih tekanan, keluarkan lebihan angin sehingga takat yang sesuai.

    APA BERLAKU JIKA TAYAR KERETA AWDA KURANG TEKANAN?

    Untuk pengetahuan awda, tayar yang kurang tekanan akan menyebabkan kereta awda menggunakan petrol yang lebih dari sepatutnya akibat daripada rintangan yang lebih.

    Selain itu, tayar yang sentiasa mempunyai tekanan yang rendah juga dikatakan akan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek.

    SILANG POSISI TAYAR KERETA

    Tahukah awda bahawa awda sebenarnya perlu menukar posisi tayar kereta setiap 10,000km atau enam bulan sekali bergantung pada keadaan tayar dan juga jenis kenderaan? Silangan tayar ini perlu dibuat bagi mengagihkan corak haus tayar yang berbeza supaya tidak tertumpu pada bahagian tertentu sahaja. Contoh, tayar belakang kereta pada kebiasaannya cenderung untuk mengalami haus jenis flat (tengah), manakala tayar depan pula kerap haus di bahagian bahu (tepi).

    Dengan menyilangkan posisi tayar, awda bakal memberikan ruang kepada tayar belakang untuk haus pada bahagian bahu, dan tayar depan haus pada bahagian tengah. Ini juga secara tidak langsung boleh memanjangkan jangka hayat tayar kereta awda dan mengurangkan kehausan tidak sekata.

    LAKUKAN BALANCING DAN ALIGNMENT

    Awda memandu kereta dan mendapati stereng kereta bergegar dengan kuat sepanjang perjalanan sehingga mengganggu pemanduan? Maka, ini bermakna awda perlu melakukan balancing pada tayar kerana balancing kereta awda sedang bermasalah.

    Balancing tayar penting bagi memastikan putaran tayar berserta rim seimbang dengan paksi putarannya. Awda disarankan untuk membuat balancing pada tayar setiap enam bulan sekali bagi memastikan tayar kereta berada dalam keadaan yang baik.

    Alignment pada tayar kereta pula perlu dilakukan apabila awda mendapati stereng kereta awda senget dan tidak selari bersama tayar kereta.

    Tayar kereta yang sudah haus pada satu bahagian sahaja merupakan petanda bahawa tayar kereta awda memerlukan alignment. Untuk pengetahuan awda, proses alignment tayar kereta perlu dilakukan untuk mendapatkan Toe dan Chamber.

    Ini bagi memastikan tayar kereta tersebut dapat berjalan dengan baik dan mencengkam pada jalan raya dengan kuat. Sekiranya tayar tidak dapat mencengkam dengan kuat di atas jalan raya, maka kemungkinan untuk berlaku kemalangan di atas jalan raya adalah tinggi.

    Antara punca awda perlu membuat alignment ialah kereta terlanggar lubang besar atau lopak dengan kuat dan laju; Selepas menukar komponen stereng atau suspensi; Kereta sering bergerak ke tepi walaupun sewaktu pemanduan lurus atau jika stereng tidak kembali ke posisi asal selepas membelok.

    PERIKSA KETEBALAN BUNGA TAYAR

    Untuk pengetahuan awda, purata tayar memiliki kira-kira 8mm kedalaman bunga bagi produk baharu. Apabila mencapai takat 3mm, awda disarankan untuk menggantikan tayar dan pada kedalaman bunga minimum 1.5mm, tayar kereta awda secara teknikal sudah haus sepenuhnya.

    Apabila kedalaman bunga pada tayar kurang, maka ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan fungsi tayar berkurangan. Ini bermakna, keupayaan ia untuk menyingkirkan air dan cengkaman berkurangan dan jarak membrek juga akan meningkat.

    Selain membantu cengkaman tayar, alur tayar direka untuk menyingkirkan air daripada jalan basah secara efektif. Jadi, apabila bunga haus, keupayaan menyingkirkan air juga berkurangan dan meningkatkan peluang berlaku situasi aquaplanning atas jalan dan secara tidak langsung berpotensi untuk kereta awda hilang kawalan sekali gus terbabit dalam kemalangan.

    KERAP PERIKSA TAYAR KERETA AWDA

    Sekali lagi diingatkan, tayar kereta adalah amat penting untuk dijaga demi keselamatan nyawa awda dan juga pengguna jalan raya yang lain. Rajinkan diri untuk membuat pemeriksaan tayar sama ada secara sendiri atau di bengkel dalam tempoh beberapa bulan sekali, mengikut waktu yang disarankan.

    Ingat, ada kereta tidak semestinya hanya bayar bulan-bulan dan pakai sahaja. Jaga tayar sebaiknya demi keselamatan bersama. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...