Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Titah Agong: Supaya jaga Missclyen sebaik-baiknya

    BINTULU, 2 NOV – “Jaga anak rahmat Tuhan ini dengan sebaik-baiknya”.

    Titah pesanan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan terus menjadi pegangan Roland Jimbai, bapa kepada anak istimewa, Missclyen Roland yang diambil menjadi anak angkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini.

    Titah yang disampaikan Al-Sultan Abdullah semasa persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo di Kampung Penan Muslim Batu 10, pada September lepas menjadi permulaan kepada hubungan antara keluarga Roland dengan pasangan diraja itu.

    “Pada masa itu saya fikir mungkin kita tidak dapat berjumpa (Seri Paduka Baginda) kerana pada masa itu orang terlalu ramai tetapi kami bersyukur kerana rezeki untuk berjumpa itu ada.

    Perjumpaan itu sangat singkat tapi saya ingat Al-Sultan Abdullah minta agar saya jaga Missclyen dengan baik, perkara itu yang saya ingat sampai sekarang,” katanya semasa ditemui pemberita, hari ini.

    Missclyen yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH), bersama ibu bapanya menarik perhatian umum apabila dapat mengabadikan pertemuan singkat menghadap Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika konvoi Kembara Kenali Borneo singgah di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri pada 10 September lepas.

    Semalam, menerusi satu hantaran di media sosial, ibu kepada Missclyen, Theresa Gunting memaklumkan menerima warkah daripada Istana Negara yang menyatakan kesudian Tunku Azizah untuk mengambil Missclyen, dua tahun, sebagai anak angkat.

    Dalam warkah bertarikh 10 Oktober itu, Tunku Azizah menzahirkan hasrat baginda membiayai belanja persekolahan Missclyen selain rawatan penyakit Hypertrichosis atau Sindrom Werewolf yang dihidapi kanak-kanak perempuan itu. – Bernama

    Missclyen Roland dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH) ketika ditemui di Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu, Miri. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...