Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Titah penghargaan jayakan Istiadat Perkahwinan Diraja

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah.

    “Rakyat Beta yang dikasihi, Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya juga, dapatlah kita sama-sama meraikan Istiadat Perkahwinan Diraja bagi paduka anak-anda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan YAM
    Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah yang baharu sahaja berlalu.”

    Baginda dengan tulus Ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga perkhidmatan awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta.

    Ini termasuk mereka yang bertugas di luar negara atas sumbangan dan sokongan mereka bagi menjayakan Istiadat Perkahwinan Diraja tersebut.

    Baginda juga tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu khas Baginda yang hadir ke istiadat itu dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucapan selamat kepada Baginda dan keluarga khasnya bagi kedua-dua pengantin diraja.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bertitah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan Istiadat Perkahwinan Diraja. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Sesungguhnya Beta dan keluarga amat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, lebih-lebih lagi para penuntut, tenaga pengajar, institusi pendidikan yang terlibat sama terutama pada Istiadat Perarakan Pengantin Diraja mengelilingi Bandar Seri Begawan,” titah Baginda.

    Titah Baginda lagi, ini menggambarkan betapa uniknya adat istiadat yang diwarisi sejak sekian lama masih sahaja tetap terpelihara sekali pun berhadapan dengan gelombang perubahan zaman.

    “Lebih membanggakan lagi, ialah kemuafakatan dan kerjasama yang terjalin kukuh di kalangan masyarakat pelbagai peringkat dalam menjayakan satu matlamat berkebajikan,” titah Baginda, selain berharap keadaan ini akan terus kekal bagi memudahkan kita menjana kemajuan dan mempertahankan kedaulatan bangsa, agama, negara dan raja.

    Baginda turut melahirkan keyakinan, di mana rakyat dan penduduk sama-sama bergembira menyaksikan satu peristiwa yang penuh sejarah, Istiadat Perkahwinan Diraja yang baharu saja berlangsung itu.

    Ia tentu saja menjadi ristaan kenangan manis kepada semua lebih-lebih lagi kepada generasi penerus yang akan memastikan adat dan budaya adalah kekal relevan di masa akan datang.

    Bagi mengakhiri titah, Baginda menyampaikan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa di kedua-dua peringkat tertinggi dan kerja, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan istiadat ini dan berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur dikurniakan oleh Allah, rahmat dan perlindunganNya yang berkekalan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...