Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Titik beratkan perbelanjaan berhemah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Usaha-usaha berterusan pihak kerajaan bagi mewujudkan gerak kerja perbelanjaan yang inklusif dengan mengambil kira perbelanjaan berhemah sebagai landasan utama perlu dititikberatkan ke arah menstabilkan ekonomi negara dan mengimbangi defisit yang dihadapi.

    Pandangan berkenaan telah disuarakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dalam memberi respons berhubung pembentangan dan huraian yang komprehensif mengenai Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2024/2025 pada hari ketiga Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Justeru itu, tambah beliau, langkah-langkah drastik perlu dibuat bagi memastikan apa-apa perbelanjaan dapat dimanfaatkan oleh rakyat menerusi inisiatif-inisiatif baharu yang lebih baik dan menarik serta mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan agensi-agensi kerajaan sejajar apa yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Selain daripada itu kaola juga berharap agar belanjawan kali ini hendaklah menyasarkan perkara-perkara strategik antaranya membangunkan ekosistem yang kondusif untuk perniagaan inklusif di Negara Brunei Darussalam. Ini termasuklah menggalakkan bentuk baharu perkongsian awam-swasta dalam menghadapi perniagaan bentuk baharu yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara.

    “Dalam masa yang sama sikap keterbukaan pihak kerajaan untuk bekerja lebih dekat dengan sektor swasta dalam menyelesaikan masalah public goods dan isu pekerjaan. Pendekatan ini penting sebagai usaha bagi menangani isu-isu rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan,” ujar beliau lagi.

    Jelasnya lanjut, perniagaan inklusif atau perniagaan sosial merupakan sistem perniagaan yang seharusnya memberi nilai kepada rakyat dan masyarakat. Di samping mendapatkan keuntungan, program perniagaan inklusif dapat diadaptasi oleh syarikat-syarikat besar mahupun kecil.

    Peranan pihak kerajaan adalah sebagai pemudah cara sektor swasta untuk melaksanakannya. Ini adalah kaedah menang-menang yang memberikan keuntungan kepada semua pihak bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat dan merupakan inisiatif baru dalam era Masyarakat Ekonomi ASEAN (MEA).

    “Dalam memperkatakan soal ekosistem tempat-tempat perniagaan yang sedia ada mahu pun yang akan dirancang perlulah dilihat dari kesesuaiannya dari semua aspek termasuklah lokasi yang strategik, kemudahan infrastruktur di samping reka bentuk yang menarik mampu mewujudkan prasarana perniagaan yang kondusif. Mana-mana bangunan perniagaan yang tidak lagi sesuai perlu dinaik taraf melalui kaedah transformasi konsep perniagaan baru yang lebih menarik,” tekannya lagi.

    Ujar beliau, memang tidak dapat dinafikan sudah ada usaha bagi mempelbagaikan tapak-tapak perindustrian dengan konsep perniagaan yang lebih menarik dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

    Sebagai contoh, Tapak Perindustrian Ringan Kampung Lugu yang menyediakan kemudahan seperti dewan untuk majlis-majlis perkahwinan yang menjadikan kawasan ini sering dikunjungi oleh orang ramai. Ini adalah antara contoh transformasi perniagaan yang perlu dilaratkan ke kawasan-kawasan lain yang berpotensi seperti gerai-gerai, bangunan pasar malam dan sebagainya.

    Sehubungan itu, beliau menaruh harapan agar belanjawan berkenaan juga memberi perhatian kepada isu-isu berbangkit dan yang sering diketengahkan oleh ahli-ahli yang berhormat seperti isu jalan raya yang sering rosak, lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi, papan-papan tanda yang sudah kabur, longkang-longkang sering tersumbat dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...