Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    TM jangka peningkatan ketibaan pelancong Indonesia

    JAKARTA, 17 JAN – Tourism Malaysia (TM) menjangkakan jumlah pelancong Indonesia yang melawat Malaysia meningkat pada tahun 2024 dan menyasarkan bilangan itu bakal kembali ke tahap sebelum pandemik berikutan pertumbuhan ketara ketibaan pada tahun lepas.

    Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (ASEAN) TM, Jamilah Abd Halim, berkata sebelum pandemik COVID-19 bermula, Malaysia menarik kira-kira 3.62 juta pelawat Indonesia pada 2019.

    Bercakap kepada pemberita di acara ‘WebBeds Indonesia Tabletop’, beliau berkata angka itu meningkat kepada 1.418 juta pada 2022 dan untuk tempoh Januari hingga September 2023 mencatatkan 2,227,991 ketibaan.

    “Indonesia adalah pasaran penting bagi Malaysia. Dengan pasaran menunjukkan pertumbuhan ketara dalam ketibaan pada 2023, kami berharap untuk tahun ini kami dapat mencapai prestasi seperti sebelum pandemik,” katanya.

    Mengulas mengenai acara WebBeds di sini dan di Surabaya esok, Jamilah berkata ini memberikan peluang baik untuk Malaysia berhubung dengan industri dan menyampaikan rancangan serta kemas kini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

    WebBeds membolehkan wakil daripada 38 hotel dan syarikat hospitaliti dari Malaysia dan Singapura bertemu secara bersemuka dengan agensi pelancongan terkemuka Indonesia.

    Menurut WebBeds, penyedia utama penginapan B2B, Indonesia membentuk hampir 15 peratus perniagaan untuk hotel Singapura dan menyaksikan lebih 50 peratus pertumbuhan tahun ke tahun untuk hotel Malaysia pada 2023. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...