Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Sebagai salah satu usaha untuk memberigakan dan memperkenalkan tokoh-tokoh tanah air terutama dalam kalangan belia, Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi telah mengadakan Program Bicara Sejarah: Tokoh Belia di Dewan Jawatan Dalam, PSB, hari ini.
Program yang bertemakan ‘Sejarah Asas Kejayaan dan Kecemerlangan’, program berkenaan juga diadakan bersempena Festival Hari Belia Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-17 dan juga bertujuan untuk mendorong generasi belia bersiap siaga memajukan diri dalam memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada bangsa dan negara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Dua orang ahli panel telah dijemput bagi program ini, iaitu Pengasas dan Pengurus Al-Huffaz Management, Haji Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan yang juga merupakan penerima Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12.
Ahli panel kedua ialah Ketua Pegawai Eksekutif Battle Pro Marketing and Management Services dan Pengurus Balurih Travel Sdn Bhd, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah yang juga penerima Anugerah Belia Cemerlang sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13.
Kedua-dua tokoh merupakan anak tempatan yang berpotensi dan bergiat aktif, berkemahiran, inovatif, kreatif dan berdaya saing dalam pelbagai bidang sejajar dengan matlamat negara yang ingin mencapai Wawasan Brunei 2035.

Dalam sesi bual bicara, tokoh-tokoh belia telah berkongsi mengenai sejarah, latar belakang, pengetahuan, pengalaman dan cabaran serta sumbangan yang telah mereka lalui dalam bidang masing-masing dalam mengecap kejayaan yang dicapai sehingga kini.
Selain itu, mereka turut berkongsi cara permulaan dalam menghasilkan sesebuah projek sehinggalah mereka memiliki perusahaan sendiri.
Program tersebut diharap dapat memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada masyarakat khususnya generasi belia agar sentiasa menyedari peranan dan tanggungjawab mereka dan seterusnya menjadi tunggak utama dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara dan bangsa Brunei pada masa hadapan.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, pegawai-pegawai dari KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Ia turut disertai mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), para pelajar dari Politeknik Brunei, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dan Kolej Perniagaan Laksamana, ahli-ahli Majlis Belia Brunei dan sukarelawan belia.