Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tradisi Aidilfitri di Kampong Ayer tarik perhatian delegasi S’pura

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Keunikan budaya dan tradisi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampong Ayer menjadi tumpuan semasa lawatan Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman dan isteri, Sadiah Shahal semasa lawatan, kelmarin.

    Sebagai sebahagian daripada program lawatan rasmi di Negara Brunei Darussalam, TYT Dr Mohamad Maliki serta rombongan semasa lawatan berkenaan telah dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman. Rombongan kemudian berlepas menggunakan bot ke kediaman seorang penduduk Kampong Ayer di Kampung Sungai Pandan B, Awang Jolaini bin Haji Alim.

    Semasa lawatan berkenaan, Tuan Yang Terutama berkata, amat menarik untuk menyaksikan semangat kampung masih kekal dipratikkan terutama kehidupan di atas air yang amat unik. Beliau turut mengimbas kenangan di mana dahulu ketika kita tinggal di kampung, mereka akan berlari-lari di tanah lapang manakala hidup di Kampong Ayer, mereka boleh sahaja terjun ke air untuk bermain-main di air.

    Pengalaman berkenaan adalah amat unik bagi Brunei, jelasnya, di mana warga Brunei harus merasa bangga akan kekayaan sejarah budaya Kampong Ayer dan menyatakan harapan ia akan terus kekal.

    “Ia bukannya hanya satu ciri kebanggaan bagi warga Brunei tetapi ia harus menjadi kebanggaan bagi semua warga Asia Tenggara kerana ciri unik itu tidak banyak terdapat di Asia Tenggara,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Dr Mohamad Maliki bergambar selepas menandatangani plak rasmi. – GAMBAR OLEH SA
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Dr Mohamad Maliki serta rombongan Singapura sempat bergambar ramai semasa lawatan tersebut. – GAMBAR OLEH SA

    “Kita harus merasa bangga mempunyai warisan budaya seumpama ini,” ulasnya lagi.

    Delegasi Singapura berkenaan termasuk Menteri Negara, Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Setiausaha Agung, National Trade Union Congress, Tuan Yang Terutama Desmond Tan Kok Ming dan isteri, Tara Heng serta ahli Parlimen, Yeo Wan Ling.

    Turut hadir ialah Pesuruhajya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon dan isteri, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Dr Mohamad Maliki dan telah berperluang beramah-mesra dan berinteraksi dengan pemilik kediaman serta ahli-ahli keluarganya.

    Lawatan itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang mencermin-kan persahabatan yang istimewa dan unik kedua-dua buah negara serta menikmati keindahan persekitaran Kampong Ayer dan sikap ramah masyarakat setempat.

    Dalam perjalanan ke kediaman Awang Jolaini, delegasi Singapura berkenaan berpeluang untuk berjalan melalui laluan pejalan kaki yang diperbaharui yang merupakan kolaborasi bersama antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Singapore Association (SA) di Negara Brunei Darussalam untuk memperingati ulang tahun hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. Bagi menandakan pelancaran projek bersama berkenaan, TYT Dr Mohamad Maliki telah menandatangani plak rasmi.

    Selain daripada projek bersama itu, Pejabat Daerah Brunei dan Muara juga telah menaik taraf jambatan kayu 2 meter x 159 meter kepada tiang konkrit dan laluan kayu bermula dari depan rumah No 762A ke jeti No 1, Kampung Serdang, Mukim Kota Batu yang telah siap pada 20 Februari lalu, menaiktaraf tiang jambatan 100 meter x 2 meter dengan konkrit dan lantai kayu daripada jambatan utama di hadapan Sekolah Rendah Haji Tarif hingga rumah No 21C, Kampung Tamoi Tengah, Mukim Tamoi yang telah selesai pada 20 Februari.

    Sementara itu, kerja-kerja baik pulih, pendawaian elektrik dan mengecat semula Jeti No 17, Kampung Sungai Pandan telah siap pada 9 April. Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura menyambut ulang tahun hubungan dua hala ke-40 pada 2024 dan bersempena dengan peristiwa bersejarah itu, SA di Negara Brunei Darussalam telah melancarkan kempen sumbangan SG Cares pada Februari lalu untuk mengutip sumbangan berjumlah $40,000 bagi pelbagai projek komuniti yang bermakna.

    Jumlah sasaran berkenaan telah dicapai dengan sumbangan para penderma Singapura yang murah hati serta rakan-rakan SA yang tampil ke hadapan untuk menyokong usaha murni berkenaan.

    SA berharap sumbangan itu akan disalurkan bagi usaha-usaha yang akan memberikan impak yang bermakna dan positif kepada golongan yang memerlukan.

    Ke arah itu, sumbangan yang telah dikumpulkan telah ditetapkan oleh SA bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat di Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Pejabat-pejabat Daerah Tutong, Belait dan Temburong telah mengenal pasti kira-kira 10 buah rumah untuk dibaik pulih di bawah dana sumbangan SG Cares dengan projek-projek berkenaan dijangka akan siap pada hujung Mei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...