Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi pembuatan seramik serap elemen moden

    Gambar ANN/China Daily

    JINGDEZHEN – Dihiasi dengan warna biru pada badan seramik putih, barangan qinghuaci ialah salah satu produk kebudayaan yang paling terkenal di China, dengan barangan yang dibuat di Jingdezhen, wilayah Jiangxi, dianggap sebagai kualiti terbaik.

    Dengan tradisi membuat seramik sejak lebih 2,000 tahun lalu, Jingdezhen dikenali sebagai ‘ibu kota porselin’ China, menarik pembuat kraf tangan tersebut dari dalam dan luar negara untuk menghidupkan dan mengusahakan semula kraf tradisional dengan sentuhan kontemporari.

    “Pembuatan seramik mengalami perubahan. Saya mewarisi tradisi dengan cara yang inovatif dan mencipta karya saya sendiri,” kata Cai Wenjuan, seorang tukang kraf tangan wanita berusia 36 tahun.

    Menurut pakar, terdapat 72 proses dalam pembuatan porselin tradisional dan hanya seorang yang pakar sahaja yang boleh mengendalikan kerja rumit itu. Sebagai contoh, biasanya mengambil masa seminggu untuk mengukir pasu.

    Ibu bapa dan datuk neneknya juga adalah tukang pembuat qinghuaci, atau barangan porselin biru-putih, di Jingdezhen. Kenangan zaman kanak-kanak Cai berkaitan dengan seramik, yang membuatkan dia menemui minatnya dalam melukis semasa dia seorang remaja.

    Cai melukis corak vintaj biru-putih pada kepingan porselin di studionya.
    Cawan porselin biru-putih yang dihasilkan oleh studio Cai.
    Cai bekerja pada pasu porselin.
    Tukang kraf tangan (kanan) mengajar teknik melukis porselin biru-putih kepada pereka di studio.
    Cai membimbing seorang perantis dengan teliti melukis corak di studio.
    Memilih mineral adalah langkah penting dalam membuat seramik. Ia digunakan untuk mengecat badan porselin yang bertukar menjadi biru daripada hitam apabila diwarnakan.
    Cai Wenjuan pada pameran yang menampilkan barangan porselin biru-putih di Institut Kiln Imperial Jingdezhen di wilayah Jiangxi.

    Walaupun selepas menamatkan pengajian dari Universiti Seramik Jingdezhen pada 2006, dia tidak terfikir untuk mewarisi kraf tangan keluarganya dan menjadi jurujual di sebuah studio seramik di Beijing ketika itu.

    Selepas dua tahun menjual seramik, Cai terpesona dengan barangan biru-putih itu.

    Dia berhenti kerja dan kembali ke kampung halamannya pada penghujung 2008, memulakan pengalaman pembelajaran selama dua tahun melukis barangan porselin biru-putih.

    Pada 2012, Cai menubuhkan syarikat pembuatan seramiknya sendiri dan dua tahun kemudian, dia membina jenama bertemakan seramik, China Story.

    Berbeza daripada pembuatan mengikut kaedah lama, Cai meletakkan corak biru-putih, diilhamkan oleh porselin Dinasti Yuan (1271-1368), pada objek harian seperti sarung telefon, payung, langsir, bantal dan aksesori.

    Setakat ini, lebih 1,000 jenis produk telah dijual oleh syarikatnya.

    “Pesona dan kisah di sebalik porselin biru-putih boleh diselami oleh generasi muda dengan menghargainya,” kata Cai, sambil menambah bahawa porselin boleh digayakan.

    Sebagai pewaris lukisan porselin biru-putih peringkat wilayah, dia berusaha untuk meneruskan kraf tangan itu dengan mengintegrasikan daya tarikan purba barangan dengan estetika moden.

    Pada platform perkongsian video Douyin, Cai telah menyiarkan lebih daripada 60 klip untuk mempopularkan kraf dan budaya di sebaliknya.

    “Suatu hari nanti, saya berharap ada unsur tradisional Cina seperti corak porselin biru-putih di mana-mana dalam kehidupan seharian,” kata Cai.

    Seperti Cai, lebih ramai usahawan dan artis muda sedang mempertimbangkan kerjaya dalam perniagaan berkaitan porselin di Jingdezhen, dengan kerajaan tempatan melancarkan langkah sokongan untuk pelbagai syarikat permulaan dalam bidang itu.

    Pada tahun 2014, kawasan pameran purba dan budaya rakyat di Jingdezhen, yang meliputi kawasan seluas 83 hektar, telah ditetapkan sebagai tempat pameran seni budaya tersebut.

    Hari ini, barangan porselin antik dari Jingdezhen masih dihargai oleh pengumpul dari seluruh dunia.

    Tahun lepas, nilai keluaran industri seramik di Jingdezhen mencecah A$9.6 bilion, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 28.8 peratus, menurut angka rasmi. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda