Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    Trafik udara Malaysia berkembang 16.1 peratus

    KUALA LUMPUR, 2 MEI – Trafik penumpang udara berkembang 16.1 peratus kepada 22.6 juta penumpang pada suku pertama tahun ini selepas dipacu oleh trafik udara antarabangsa dan kembali kepada corak perjalanan sebelum pandemik dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam laporan perangkaan trafik penumpang udara dan kargo untuk suku pertama 2024 menyatakan trafik udara antarabangsa melonjak sebanyak 39.9 peratus dari tahun ke tahun kepada 11.9 juta penumpang, manakala trafik penumpang udara domestik berkurangan sebanyak 2.3 peratus kepada 10.7 juta penumpang.

    Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata angka trafik udara bagi suku pertama 2024 adalah petunjuk bahawa sektor penerbangan berada pada laluan yang kukuh untuk pemulihan.

    “Syarikat penerbangan telah memberi fokus ke arah pemulihan termasuk menambah destinasi antarabangsa baharu dan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China serta India. Kami juga komited terhadap langkah perlindungan pengguna yang teguh dan pengawasan kawal selia kekal tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pemulihan industri selepas pandemik itu kekal dalam trajektori menaik pada 85.5 peratus berbanding paras 2019, dengan pemulihan trafik udara antarabangsa pada 89.3 peratus dan domestik pada 81.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

    Buat pertama kali sejak pandemik, bahagian trafik udara antarabangsa telah mengatasi angka perjalanan domestik, mencerminkan pengembangan yang agak memberangsangkan dalam laluan dan frekuensi antarabangsa serta pemulihan perjalanan antarabangsa apabila pelancongan global menjadi semakin pulih. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...