Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    Angka kematian banjir di Kenya meningkat

    NAIROBI, 2 MEI – Bilangan mangsa yang maut akibat banjir di Kenya telah meningkat kepada 188 orang, kata Kementerian Dalam Negeri hari ini, ketika negara itu terus dilanda hujan lebat.

    Banyak kawasan negara Afrika Timur telah musnah akibat hujan, banjir dan tanah runtuh yang telah merosakkan jalan raya, jambatan dan infrastruktur lain.

    “Akibatnya, negara itu telah mencatatkan 188 kematian akibat keadaan cuaca buruk,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Ia menambah bahawa 125 orang telah dilaporkan cedera dan 90 orang kini hilang, manakala 165,000 kehilangan tempat tinggal.

    Dalam satu-satunya insiden yang mempunyai jumlah korban tertinggi, puluhan penduduk kampung terbunuh apabila sebuah empangan pecah berhampiran Mai Mahiu di Lembah Rift, kira-kira 60 kilometer di utara ibu negara, Nairobi.

    Seorang wanita berjalan di kawasan rumah yang musnah dilitupi lumpur dan serpihan dibawa oleh air berikutan banjir kilat dan tanah runtuh di Mai Mahiu pada 30 April. – AFP

    Kementerian Dalam Negeri berkata 52 mayat telah ditemui dan 51 orang masih hilang selepas bencana empangan itu.

    Hampir 100 pelancong adalah antara orang yang terkandas selepas sungai melimpah di taman hidupan liar Maasai Mara yang terkenal di Kenya berikutan hujan lebat kelmarin.

    Kementerian itu mengatakan pasukan penyelamat berjaya memindahkan 90 orang melalui darat dan udara di Masai Mara, di mana 19 pondok ditenggelami air selepas Sungai Talek melimpah.

    Cuaca juga telah meninggalkan kesan pemusnahan di seluruh negara Afrika Timur yang lain, termasuk negara jiran Tanzania, di mana kira-kira 155 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh.

    Hujan lebat telah menjadi semakin tidak menentu disebabkan corak cuaca El Nino.

    El Nino merupakan fenomena iklim yang berlaku secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan suhu di seluruh dunia, yang membawa kepada kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...