Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi Sungai Kayan: Pengawas keselamatan akan dilantik

    LUNDU, 29 OGOS – Seorang pengawas akan dilantik bagi memantau keselamatan pengguna yang menggunakan perkhidmatan bot penambang di Sungai Kayan Kampung Selampit, kata Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

    Beliau berkata pengawas itu akan memantau para pelajar, khususnya di waktu puncak pergi dan balik sekolah agar mereka mematuhi peraturan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki tidak melebihi muatan.

    “Walaupun peraturan mengenai jaket keselamatan sudah ada namun penguatkuasaannya kadangkala kurang efektif…jadi dengan adanya pengawas ini penguatkuasaan keselamatan akan terjamin.

    “Penting untuk mematuhi peraturan keselamatan sebagai langkah pencegahan dan sebagai pengajaran daripada insiden yang berlaku. Ini peringatan bagi semua pihak untuk lebih berhati-hati dan tidak menganggap sesuatu yang biasa sebagai tidak berbahaya,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi bot karam yang berlaku di kampung itu pada 20 Ogos lepas.

    Dalam kejadian 6:10 pagi itu, sebuah bot yang dinaiki 20 penumpang termasuk 16 pelajar karam di Sungai Kayan.

    Kejadian itu meragut nyawa tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Senibong iaitu Helena Fasha Petrus, Alasma Jithil dan Vilkie Wilson. – Bernama

    Datuk Seri Fatimah Abdullah menyampaikan bantuan kepada keluarga tragedi bot karam yang menyebabkan tiga murid sekolah mati lemas, pada 29 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda