Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Transformasi penyampaian pendidikan lebih berkesan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan 2023-2027 bertujuan untuk meningkatkan dan memperluaskan kesedaran pihak-pihak yang berkepentingan dan orang ramai mengenai hala tuju kementerian dalam melaksanakan inisiatif digital bagi mendukung hasrat Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 untuk Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara pintar selaras dengan matlamat wawasan 2035.

    “Di bawah pelan tersebut, beberapa inisiatif digital Kementerian Pendidikan telah dikenal pasti ke arah pendekatan transformasi dalam penyampaian pendidikan secara lebih berkesan serta meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi melalui penggunaan teknologi.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dalam kata alu-aluannya semasa Perasmian Pusat Perkhidmatan Setempat dan Pelancaran Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Beliau menerangkan lanjut pelan itu menumpukan kepada tiga bidang fokus iaitu teknologi pendidikan, pengurusan teknologi serta dasar pembolehan dan infrastruktur di mana

    setakat ini, inisiatif di bawah ketiga-tiga bidang fokus berkenaan giat dilaksanakan dan perkhidmatan disediakan di Pusat Perkhidmatan Setempat.

    Dr Haji Azman menyampaikan ucapan alu-aluan semasa Perasmian Pusat Perkhidmatan Setempat dan Pelancaran Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Beliau menambah ia adalah bukti sebahagian usaha kementerian dalam mencapai misinya iaitu untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan holistik melalui pengajaran, pembelajaran dan perkhidmatan digital seperti yang terkandung dalam pelan transformasi digital.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Dr Haji Azman menyatakan Pusat Perkhidmatan Setempat mula beroperasi pada September lalu di mana ia bertujuan untuk mengumpulkan jabatan, bahagian dan pusat di Kementerian Pendidikan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan.

    Ia termasuk nasihat konsultasi sebagai satu wadah yang mudah dikunjungi oleh orang ramai mahupun warga kementerian itu di bawah satu bumbung.

    “Ia adalah salah satu pendekatan, komitmen dan usaha berterusan Kementerian Pendidikan di dalam memberikan perkhidmatan kaunter yang pemedulian, beretika, selesa dan cekap serta mesra pelanggan,” tambahnya.

    Dr Haji Azman menyatakan pusat itu menyediakan sebanyak 12 buah kaunter termasuk beberapa bilik perjumpaan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat nasihat ataupun konsultasi dengan lebih selesa, dengan menggunakan sistem giliran.

    Perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat di pusat berkenaan termasuk permohonan bagi mendapatkan pas pelajar, penerangan mengenai biasiswa kerajaan, pembayaran dan pendaftaran peperiksaan, pengiktirafan sijil pendidikan, pembayaran yuran bagi borang tawaran dan sebut harga serta perkhidmatan khusus bagi warga Kementerian Pendidikan seperti perumahan kerajaan, hal ehwal elaun dan pinjaman, aduan atau maklum balas mengenai pembayaran gaji serta kenaikan penyelarasan gaji.

    Beliau mendedahkan bahawa setakat 24 Disember, pusat itu telah mencatatkan seramai 9,734 orang pelanggan dengan keramaian 120 orang pelanggan secara purata setiap hari.

    Dengan mengambil kira peranan pusat sebagai front office yang membantu memperkukuhkan akauntabiliti, ketelusan dan pemberian perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti di Kementerian Pendidikan, pihak kementerian mengalu-alukan maklum balas orang awam dan warga kementerian mengenai perkhidmatan yang diberikan di pusat berkenaan dengan mengimbas kod QR dan mengisikan borang di kaunter layan diri yang disediakan.

    Dr Haji Azman turut menyatakan harapan pusat itu akan memberikan perkhidmatan yang mesra pelanggan, efisien dan memberikan kepuasan hati kepada para pelanggan yang mempunyai urusan dengan kementerian itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda