Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 60 buah pasukan mengambil bahagian dan Acara Scavenger Hunt anjuran Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD) bersempena Hari Maritim Sedunia 2024 yang berlangsung di Kawasan Letak Kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Berkenan berangkat untuk turut menyertai acara berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja lainnya.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar. Turut hadir ialah pengurusan dan kakitangan MPABD.
Dalam kata alu-aluannya, Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman menekankan matlamat acara Scavenger Hunt yang menggabungkan pendidikan, keseronokan dan semangat kemasyarakatan.
Beliau mengalu-alukan kehadiran para peserta yang sama-sama menjayakan acara berkenaan di mana ia merupakan penutup kepada Minggu Maritim Brunei Darussalam 2024 yang luar biasa.
Acara hari ini, tambahnya, bukan sahaja satu pertandingan tetapi ia adalah untuk menyatupadukan semua sebagai sebuah komuniti.
Acara itu merupakan satu peringatan semangat kerjasama dan persahabatan yang menentukan keluarga maritim kita, ulasnya lagi.
Di samping itu, beliau juga menggalakkan semua peserta untuk menghadapi setiap cabaran dengan kreativiti, ketekunan dan kolaborasi serta berharap mereka akan seronok menikmati pengalaman yang unik berkenaan.
Sebanyak 60 pasukan telah mendaftar dalam acara berkenaan di mana setiap pasukan merangkumi lima orang. Permainan yang dihadapi oleh para peserta adalah termasuk menyelesaikan kata pembayang dan mengemudi pelbagai checkpoint yang disediakan di sekitar Bandar Seri Begawan.
Aktiviti yang menyeronokkan itu menyaksikan para peserta menyelesaikan pelbagai cabaran dan mara dalam acara berkenaan.
Pasukan Treasure Navigator muncul sebagai juara acara berkenaan dan membawa pulang hadiah wang tunai $2,500, piala dan pingat. Sementara itu, Pasukan Budiman’s Rep mendapat tempat kedua dan membawa pulang wang tunai $1,500, piala dan pingat. Pasukan Team 3 Suku pula mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai $1,000, piala dan pingat.
Di samping itu, tujuh hadiah sagu hati turut diberikan di mana setiap pasukan menerima hadiah iaitu pingat, piala dan wang tunai $250.
Acara Scavenger Hunt itu menandakan sempurnanya Minggu Maritim Brunei Darussalam 2024 (BDMW 2024) yang pertama diadakan pada 19 hingga 21 November di Bridex, Jerudong.
MPABD kekal komited untuk menganjurkan acara-acara yang menggalakkan penglibatan masyarakat dan mempromosikan kepentingan sektor maritim.