Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trend kanak-kanak autisme meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Secara purata dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Pusat Perkembangan Kanak-kanak Kiarong telah merekodkan lebih kurang 148 orang kanak-kanak telah didiagnosis mengalami autisme setiap tahun dan trend keramaian kanak-kanak yang mengalami autisme semakin meningkat.

    Selain itu, kadar autisme juga semakin meningkat di seluruh dunia di mana Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Amerika Syarikat (AS) menganggarkan satu di antara 36 orang iaitu 2.8 peratus kanak-kanak berumur lapan tahun telah dikenal pasti mengalami autisme.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusan sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2023, hari ini.

    “Ini menunjukkan peningkatan daripada anggaran sebelum ini iaitu pada tahun 2018, autisme dikenal pasti pada 1 dalam 44 orang iaitu 2.3 peratus,” tambahnya.

    Bagi mengetahui kadar sebenar autisme di negara ini, jelas Yang Berhormat Dato, pihak kementerian perlu menjalankan kajian yang sama ke atas kesemua kanak-kanak berumur lapan tahun.

    Kajian ini perlu diulang setiap tiga ke empat tahun untuk menganalisis trend sedia ada, iaitu sama ada terdapat peningkatan terhadap individu autisme di negara ini.

    Walaupun kajian ini belum dilakukan, jelasnya, kita dapat melihat terdapat kenaikan pada kadar autisme di negara ini melalui diagnosis yang dilakukan terhadap kanak-kanak setiap tahun.

    Sementara itu, dalam perutusan tersebut, beliau turut mengongsikan bahawa Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada setiap 2 April bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen terhadap usaha-usaha bagi meningkatkan kualiti kehidupan individu autisme.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa autisme adalah keadaan neurologi sepanjang hayat yang bermula pada peringkat awal kanak-kanak, tanpa mengira jantina, bangsa atau status sosioekonomi.

    Beliau menjelaskan, “Keadaan variasi neurologi ini mengubah perkembangan seseorang daripada kebiasaan kepada bukan kebiasaan dan boleh memberi impak kepada individu autisme dari segi pembelajaran, kehidupan berkeluarga, peluang pekerjaan, kebolehan individu tersebut untuk berdikari dan sebagainya.”

    Autisme bukan sejenis penyakit yang boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan diagnosis bagi individu autisme biasanya dibuat antara umur dua hingga tiga tahun dan istilah Spektrum Autisme merujuk kepada pelbagai ciri.

    Yang Berhormat Dato dalam perutusannya turut mengongsikan antara ciri autisme ialah mempunyai keunikan dari segi berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial selain mempunyai keunikan dari segi tingkah laku, minat dan aktiviti.

    Disebabkan oleh kedua-dua ciri tersebut, jelasnya, individu autisme mungkin menunjukkan kelainan apabila berinteraksi secara sosial dengan orang lain dan menggunakan kaedah atau cara pembelajaran yang berlainan.

    Mereka juga mungkin menunjukkan minat yang mendalam dalam beberapa perkara tertentu dan lebih selesa melakukan sesuatu perbuatan secara rutin dan sukar untuk menerima jika terdapat perubahan terhadap rutin mereka.

    Selain individu autisme mungkin mendapati tatacara komunikasi yang tipikal adalah mencabar dan mungkin mempunyai cara tersendiri untuk memproses maklumat sensor.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, dengan sokongan yang sesuai dan penerimaan variasi neurologi ini, individu dengan autisme akan dapat menikmati peluang yang saksama dan penyertaan penuh dan berkesan dalam kehidupan masyarakat.

    Sama seperti orang lain, individu autisme juga mempunyai pelbagai tahap bakat dan kebolehan, dan di sebalik itu, mereka juga selalu menghadapi pelbagai cabaran yang mana mungkin tidak disedari oleh masyarakat di sekeliling mereka.

    Dalam situasi seperti inilah kesedaran, penerimaan dan sokongan amat penting dan dapat mengubah kehidupan individu autisme ke tahap yang lebih baik dan perkembangan kanak-kanak autisme juga diberikan perhatian khusus.

    Ke arah matlamat itu, jelas Yang Berhormat Dato, Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan bukan saja menyediakan perkhidmatan pemantauan kesihatan secara kerap, tetapi ia juga memberikan pelbagai perkhidmatan bagi menyokong perkembangan awal kanak-kanak autisme.

    Beliau seterusnya mengongsikan antara perkhidmatan yang diberikan seperti khidmat nasihat perubatan, perkhidmatan jurupulih pertuturan, pemulihan tertentu termasuk pemulihan anggota dan pemulihan cara kerja.

    Selain itu, perkhidmatan penjagaan pergigian, perkhidmatan program perkembangan awal (bagi persediaan pra sekolah), perkhidmatan audiologi, guru bagi kanak-kanak kurang pendengaran, perkhidmatan psikologi dan program perkembangan awal kanak-kanak turut diberikan kepada mereka.

    Di samping itu, sokongan ahli keluarga, rakan sekerja, majikan serta stakeholder lain termasuk penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan semua lapisan masyarakat adalah amat penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme.

    Ini adalah bagi memastikan kesemua individu yang berkelainan upaya diberikan peluang yang saksama untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka dari semua aspek sepanjang hayat mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda