Saturday, January 25, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump ubah status fail pembunuhan JFK, RFK dan MLK Jr

    WASHINGTON, 24 JAN – Dokumen persekutuan berkaitan beberapa pembunuhan berprofil tinggi pada tahun 1960-an akan tersedia sepenuhnya kepada umum tahun ini selepas Presiden Donald Trump kelmarin mengarahkan pelepasan dokumen berkenaan, lapor United Press International, UPI.

    “Lebih 50 tahun selepas pembunuhan Presiden John F. Kennedy (JFK), Senator Robert F. Kennedy (RFK), dan Reverend Dr Martin Luther King Jr (MLK), Kerajaan Persekutuan masih belum mendedahkan semua rekod berkaitan kejadian itu kepada orang ramai,” kata Trump dalam perintah eksekutif yang mengubah status dokumen-dokumen berkenaan.

    “Keluarga mereka dan rakyat Amerika berhak mendapatkan ketelusan dan kebenaran.

    Adalah demi kepentingan negara untuk akhirnya mendedahkan semua rekod berkaitan pembunuhan ini tanpa penangguhan,” kata Trump.

    Akta Rekod Pembunuhan Presiden John F. Kennedy 1992 mewajibkan Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan sepenuhnya semua rekod berkaitan menjelang 26 Oktober 2017.

    Akta itu membolehkan presiden untuk menangguhkan pendedahan maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara, operasi perisikan, penguatkuasaan undang-undang, atau hubungan luar.

    Trump dan Presiden Joe Biden sebelum ini membenarkan beberapa maklumat dalam rekod berkenaan disusun dan menangguhkan pelepasan beberapa dokumen.

    “Saya kini mendapati bahawa penyusunan dan penahanan maklumat daripada rekod berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy tidak selari dengan kepentingan awam,” kata Trump dalam perintah eksekutif kelmarin.

    “Pelepasan rekod ini telah lama tertangguh,” tambahnya. – Bernama

    Trump, memegang Perintah Eksekutif yang ditandatangani berkaitan penyahklasifikasian dan pelepasan rekod mengenai pembunuhan bekas Presiden JFK, Senator Robert F. Kennedy, dan MLK Jr., di Pejabat Oval, Rumah Putih, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda