Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Latihan Tabletop (TTX) Kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) merupakan latihan penting untuk menguji dan meningkatkan kesediaan kecemasan nahas udara di LTAB dengan prosedur sedia ada iaitu Pelan Kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (BIA’s AEP).
Latihan Tabletop Kecemasan Nahas Udara LTAB itu telah diadakan selama dua hari hingga kelmarin di Indah Hall, Peak Performance Sdn Bhd.
Ia didahului dengan Seminar Pelan Kecemasan Lapangan Terbang pada 28 November bagi menjalankan prosedur operasi standard (SOP) akhir dengan agensi berkaitan serta untuk mengukuhkan keseluruhan rangka kerja pengurusan krisis.
Sementara itu, pada 29 November, TTX telah diadakan yang melibatkan seramai 200 orang pegawai dan kakitangan daripada semua agensi berkaitan yang terlibat seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan dan beberapa pihak berkepentingan lain.
Ia dijalankan secara perbincangan yang dikendalikan oleh fasilitator untuk memastikan kesediaan setiap peranan dan tanggungjawab agensi semasa insiden nahas pesawat dan bertindak sebagai medium untuk membincangkan isu sensitif, sekuriti dan keselamatan.
Latihan bermatlamat untuk memahami bagaimana Pelan Kecemasan LTAB berfungsi dan sentiasa bersedia untuk menangani situasi kecemasan yang tidak dijangka seperti sekiranya berlaku nahas pesawat di lapangan terbang.
Ia juga untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan dalam SOP dalaman sesebuah agensi dan juga untuk memahami keperluan untuk membuat keputusan dan tindak balas yang tepat dan berkesan.
Dengan pelaksanaan latihan itu, ia diharap boleh memberikan maklum balas yang membina kepada agensi dengan pandangan untuk mengukuhkan keseluruhan rangka kerja pengurusan krisis.
