Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuju mengaku ada salah faham dengan K-Clique

    Selepas hampir dua tahun meninggalkan kumpulan K-Clique, penyanyi Tuju menjelaskan keputusan bergerak solo dibuat atas pilihan sendiri.

    Memetik laporan mStar, Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 28, ennggan mendedahkan punca sebenar beliau membuat keputusan itu, menyifatkan ia terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum.

    Bagaimanapun Tuju tidak menyangkal wujud salah faham di antara anggota K-Clique namun tidak pernah timbul isu merajuk sehingga menyebabkan beliau angkat kaki.

    “Perkara ini terlalu peribadi dan sudah lama, saya sendiri pun lupa bagaimana hendak ceritakan.

    “Kalau hendak dikatakan merajuk, itu tidak berapa tepat. Memang ada salah faham, namun kalau hendak cerita lebih baik anggota K-Clique yang beritahu.

    “Keluar dari K-Clique adalah pilihan saya sendiri. Tiada istilah dibuang. Biarlah apa terjadi sebelum saya simpan untuk diri sendiri sahaja,” katanya kepada mStar.

    Tuju ditemui ketika malam Risiko Pop Up Show yang merupakan kolaborasi beliau bersama MK serta penyanyi penyanyi lain iaitu Ghidd, Benzooloo dan Meerfly.

    Lagu berjudul Risiko yang dilancarkan pada 22 Februari lalu merupakan kerjasama pertama antara Tuju dan MK yang juga merupakan anggota kumpulan K-Clique.

    Dalam pada itu, Tuju memberitahu walupun sengketa yang berlaku sudah selesai namun beliau tidak mungkin akan kembali ke pangkuan K-Clique.

    Pun begitu, Tuju terbuka jika ada projek istimewa bersama K-Clique pada masa hadapan.

    “Saya sudah ‘move on’ dan secara jujur selepas dua tahun ini apa boleh saya kata tidak mungkin akan kembali bersama K-Clique.

    “Saya mendoakan yang terbaik buat perjalanan kerjaya mereka selepas ini,” katanya.

    Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai tindakan Tuju meninggalkan K-Clique namun penyanyi rap itu memilih mengunci mulut mengenai perkara tersebut.

    Malah kesemua anggota kumpulan itu juga mendakwa sudah lama tidak bertemu Tuju selepas beliau menghilangkan diri. – Agensi

    Lagu Risiko menggabungkan lima penyanyi rap iaitu Tuju (kiri), Ghidd, Meerfly, Benzooloo dan MK. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda