Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh maut kereta api penumpang dan barangan bertembung

    KOLKATA, 17 JUN – Kira-kira tujuh orang terbunuh apabila kereta api penumpang ekspres dan kereta api barangan bertembung hari ini di negeri Bengal Barat India, menyebabkan tiga gerabak penumpang tergelincir, kata polis.

    Media India menunjukkan sebuah gerabak terbalik di sisinya dengan serpihannya bersepah dan satu lagi gerabak mendongak tinggi ke atas.

    Polis berkata, penyelamat sedang menyelongkar gerabak yang terbalik di sisi itu sekiranya terdapat lebih banyak mayat yang terperangkap di bawahnya.

    “Kami mendapat pengesahan terdapat tujuh kematian dan 39 penumpang dimasukkan ke hospital tempatan dengan pelbagai kecederaan,” kata pegawai polis tempatan, Iftikar-Ul-Hassan kepada AFP.

    Insiden itu adalah yang terbaharu melanda rangkaian kereta api India yang membawa berjuta-juta penumpang setiap hari.

    “Kami hanya melihat mayat pemandu dan pengawal yang maut apabila mayat mereka dibawa keluar,” kata Rajesh Kumar Singh dari Pasukan Perlindungan Kereta Api kepada AFP.

    “Beberapa lagi mayat mungkin berada di bawah tapak nahas, tetapi kami belum pasti.”

    Perdana Menteri India, Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah kepada “mereka yang kehilangan orang tersayang,” dalam satu catatan di media sosial sambil menambah, “operasi menyelamat sedang dijalankan”.

    Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee menyifatkan kemalangan itu sebagai ‘tragis’ dalam satu catatan di media sosial. – AFP

    Orang ramai melihat perlanggaran antara kereta api penumpang ekspres dan kereta api barangan di Bangal Barat, India kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda