Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Tujuh maut selepas ribut badai Eropah

    GENEVA, 1 JULAI – Ribut kuat dan hujan lebat yang melanda Perancis, Switzerland dan Itali hujung minggu lalu telah meragut nyawa tujuh orang, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.

    Tiga orang maut selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di tenggara Switzerland, kata polis di wilayah berbahasa Itali, Ticino kelmarin.

    Di tempat lain di Switzerland, seorang lelaki ditemui mati di sebuah hotel di Saas-Grund di wilayah barat daya Valais, kata polis, sambil menambah dia mungkin terkejut dengan kenaikan mendadak paras air banjir.

    Gambar yang disiarkan dalam penerbitan dalam talian 20minuten menunjukkan sebahagian daripada bandar itu diliputi lapisan lumpur yang tebal.

    Seorang lagi lelaki juga hilang di Valais, kata polis.

    Gambar menunjukkan sebahagian lebuh raya A9 dinaiki air berhampiran Sierre, barat Switzerland pada 30 Jun. – AFP

    Di Perancis, tiga orang berusia 70an dan 80an terkorban di timur laut wilayah Aube pada Sabtu apabila sebatang pokok tumbang menghempap kereta yang dinaiki mereka, pihak berkuasa tempatan memberitahu AFP.

    Penumpang keempat berada dalam keadaan kritikal, tambahnya.

    Perkhidmatan keselamatan awam Switzerland berkata ‘beberapa ratus’ orang telah dipindahkan di wilayah selatan Valais dan jalan raya ditutup selepas Sungai Rhone dan anak sungainya melimpah di beberapa lokasi.

    Keadaan di Valais terkawal kelmarin, kata pegawai yang bertanggungjawab atas keselamatan awam, Frederic Favre dalam satu sidang akhbar, tetapi dia memberikan amaran bahawa keadaan akan kekal ‘berisiko’ untuk beberapa hari akan datang.

    Perkhidmatan kecemasan sedang menimbang cara terbaik untuk memindahkan 300 orang yang telah tiba untuk kejohanan bola sepak di bandar pergunungan Peccia, manakala hampir 70 orang sedang dipindahkan dari kem percutian di kampung Mogno. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...