Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh terkorban, 12 cedera kebakaran hotel di Bucheon

    BUCHEON, KOREA SELATAN, 23 OGOS – Tujuh orang terkorban, manakala 12 lagi cedera berikutan kebakaran di sebuah hotel di Bucheon, di barat Seoul, kelmarin, lapor agensi berita Yonhap memetik pihak bomba.

    Kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat lapan hotel sembilan tingkat itu pada 7:39 malam, menyebabkan tujuh orang maut, termasuk tetamu, menurut pihak berkuasa.

    Mereka yang cedera sedang menjalani rawatan di hospital tempatan. Tiga daripada mereka mengalami kecederaan serius tetapi tidak kritikal.

    Beberapa orang maut setelah terjun dari tingkap dan mendarat di atas tilam angin manakala seorang wanita mengalami serangan jantung di tangga hotel dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.

    “Sebahagian daripada mangsa yang maut ditemukan di tangga dan di lorong hotel,” kata seorang pegawai kesihatan awam Bucheon kepada pemberita.

    Anggota bomba memadam sebahagian besar kebakaran pada 10:14 malam. Api tidak merebak di dalam bangunan tetapi mencetuskan asap yang menyebabkan banyak korban jiwa, menurut pihak berkuasa. Hotel itu mempunyai 64 bilik dan dianggarkan mempunyai 27 tetamu di bangunan itu ketika kebakaran berlaku.

    Pihak berkuasa bomba menghantar 70 kenderaan dan kira-kira 160 anggota bomba ke tempat kejadian.

    “Usaha menyelamat diteruskan di bilik hotel,” kata seorang pegawai polis. “Hanya selepas api dipadamkan sepenuhnya dan pencarian di dalam bangunan selesai, baru kami dapat menentukan skala sebenar mangsa terlibat.”

    Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min, menggesa usaha semua pihak terutama pihak berkuasa bomba dan kerajaan tempatan untuk memadamkan api dan menyelamatkan orang menggunakan semua kakitangan dan peralatan yang ada. – Bernama

    Pasukan penyiasat tiba untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan hotel yang musnah terbakar di Bucheon, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda