AGROS, CYPRUS – Lavender, selasih dan bunga mawar: tumbuhan berbau harum sedang ditanam di Cyprus untuk menambah lagi keindahan pulau dan mengembalikan semula status botani yang wujud sejak era Rom.
Dari matahari terbit di kampung Agros, 1,100 meter di atas paras laut di banjaran gunung Troodos, Andria Tsolakis, adik perempuan bongsu Elena dan ibu mereka Maria sibuk bekerja di tengah-tengah bunga mawar yang rimbun.
Dalam keheningan udara segar waktu pagi, mereka memetik bunga mawar Damask yang terkenal di Agros.
Selama lebih tujuh dekad, keluarga Tsolakis telah menanam bunga mawar merah muda yang berasal dari Syria yang menurut mereka pertama muncul secara misteri di kaki gereja kampung. Dari hasil bernilai itu, mereka mengeluarkan air mawar dan minyak untuk digunakan dalam masakan dan kosmetik.
“Kami memerlukan kira-kira 400 bunga mawar untuk menghasilkan satu kilo kelopak bunga mawar. Dan daripada dua kilo itu, kami akan menghasilkan dua liter air mawar,” kata Andria, 31 tahun.
Apabila bapa mereka, Chris mengambil alih perniagaan itu, dia memutuskan untuk menubuhkan sebuah butik bernama ‘The Rose Factory’ dan menambah Agros dalam senarai pelancong pulau timur Mediterranean itu.
Dalam musim pelancong biasa, sebelum pandemik COVID-19 yang telah melumpuhkan sebahagian besar sektor, ‘kami mengalu-alukan 10 bas pelancong setiap hari,” kata Elena.
Hari ini, satu projek yang sebahagiannya dibiayai Kesatuan Eropah bertujuan mempromosi pelancongan di enam negara Eropah selatan – Bosnia-Herzegovina, Croatia, Cyprus, Perancis, Itali dan Malta – dengan tarikan tumbuhan berbau harum dan herba ubat mereka.
Mappae (Persatuan Tumbuhan Herba Ubat dan Berbau Harum Eropah) berkata misinya adalah ‘mewujudkan laluan bertemakan pelancong dan kebudayaan, menghubungkan destinasi Eropah yang disatukan oleh tradisi am.’
“Kami dikurniai lebih daripada 800 herba berlainan, sesetengahnya hanya boleh ditemui di Cyprus,” kata Yioula Michaelidou Papakyriacou, penyelaras projek Cyprus.
“Nenek kami boleh menyembuhkan segala-galanya dengan herba,” katanya.
Papakyriacou menyumbangkan kualiti tinggi minyak pati pulau itu kepada geologi, pembentukan banjaran Troodos, kualiti udara dan keadaan cuaca.
“Iklim di sini adalah sesuai untuk menanam jenis herba berkenaan, disebabkan tumbuhan herba suka cuaca panas, mereka suka cahaya matahari yang terik,” kata pakar herba Miranda Tringis, yang mengendali taman botani berhampiran Ayia Napa, destinasi pantai terkenal di pulau itu.
Cyprus berasa bangga dengan kekayaan flora, tumbuhan serta pokok zaitun dan sipres. – AFP