Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tumis segera hasil sentuhan pengusaha suami isteri

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Fauzana

    Bagai pengikat kasih pelbagai kulinari, begitulah nilai sentimental yang tersirat dalam sentuhan produk tumisan segera yang dihasilkan oleh sepasang pengusaha suami isteri tanah air kita dalam meniti bidang keusahawanan sejak dari awal tahun 2018.

    Lebih senang disapa dengan panggilan Dayang Fauzana atau nama sebenarnya Dayang Nurul Fauzana binti Haji Sabtu dan suami, Awang Zulkifli bin Haji Awang Ali yang menetap di Kampung Jerudong kini menumpukan pada salah satu produk jualan utama mereka yang lebih popular disebut Tumis Segera di bawah Syarikat Dapur Babu Nisah, di samping tiga jenis produk sampingan lain yang terdiri daripada Tumis Sayur (biasa), Tumis Sayur Udang dan Lada Kering Kisar.

    Kenangan bersama daging masak kunyit

    Sambil mengimbas kembali detik kenangan lalu, Dayang Fauzana yang pada masa itu baru sebulan bernikah dengan suami beliau dan ibu mertuanya ingin Dayang Fauzana menyediakan hida-ngan daging masak kunyit bagi santapan mereka sekeluarga.

    Beliau tidak mahu menolak permintaan itu meskipun beliau kurang arif dalam bidang masakan pada ketika itu, namun tetap berusaha ingin mencuba kemampuan diri dengan hanya berbekalkan sentuhan air tangan bahan tumis yang sudah tersedia lebih awal oleh ibu mertuanya dalam peti sejuk.

    “Alhamdulillah, tumis pemberian ibu mertua itu adalah penyelamat pada ketika itu, tanpa perlu memikirkan sukatan kisaran jumlah bawang tertentu dengan hanya menambah bahan-bahan lain seperti kunyit dan lada serta secukup rasa maka saya berjaya memasaknya. Dari situlah timbulnya ilham untuk mengetengahkan produk jualan berasaskan tumis segera ini,” ujarnya dengan nada keceriaan yang sememangnya insan yang begitu gemar menceburi bidang berjual beli secara sambilan sejak dahulu lagi.

    Dayang Fauzana dan suaminya kini menumpukan salah satu produk jualan utama mereka yang lebih popular disebut Tumis Segera di bawah Syarikat Dapur Babu Nisah.

    Bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai, lengkuas dan lada kering antara bahan-bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan produk Tumis Segera berkonsepkan semula jadi tanpa bahan pengawet.
    Awang Zulkifli berkongsi beliau biasanya menjalankan proses pembuatan produk tumis segera berkenaan sebanyak tiga kali dalam seminggu.

    Dengan memohon izin daripada ibu tentang hasrat Dayang Fauzana, Awang Zulkifli yang amat menyokong isterinya itu mula mempelajari proses pembuatan tumis sentuhan resipi peribadi ibunya secara terperinci sehingga mampu memantapkan kemahirannya dalam kira-kira setahun sebelum memulakan penjualan secara kecil-kecilan yang mana pada ketika itu mula diketengahkan kepada ahli keluarga dan saudara-mara terdekat terlebih dahulu.

    Dalam pada itu, Dayang Fauzana yang pernah bekerja di salah satu sektor swasta dan kini tekad menjalankan perniagaan secara sepenuh masa ini turut menjelaskan bahawa bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai, lengkuas dan lada kering adalah antara bahan-bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan produk tumis segera berkonsepkan semula jadi tanpa bahan pengawet. Oleh itu, sejurus sahaja proses mengisar selesai dilakukan maka mereka akan menyimpan bahan-bahan kisaran itu ke dalam peti sejuk terlebih dahulu untuk disejukkan dalam jangka masa seharian. Hal ini begitu penting untuk mengekalkan keasliannya agar tidak berubah sebelum dilakukan proses pembungkusan.

    Kualiti terbaik menjadi prinsip utama

    Menanai peranan dalam menitikberatkan aspek penghasilan produk merangkumi kebolehtahanan nilai kua-liti secara menyeluruh, Awang Zulkifli berkongsi beliau secara lazimnya menjalankan proses pembuatan produk tumis segera berkenaan sebanyak tiga kali dalam seminggu namun secara sampingan sahaja selepas pulang dari waktu bekerja.

    Mereka menghasilkan produk-produk berkenaan di kediaman mereka secara persendirian dengan menggunakan kemudahan peralatan mesin-mesin khas tertentu antaranya untuk mengupas kulit, menghiris dan mengisar sehingga proses pembungkusan.

    “Berbanding kaedah manual, kemudahan peralatan mesin-mesin khas sungguh menjimatkan tenaga dan masa untuk memenuhi tempahan orang ramai. Walau bagaimana pun, dalam menghasilkan produk ini, kualiti terbaik sentiasa menjadi keutamaan kami dari semasa ke semasa merangkumi nilai kebersihan termasuk bahan-bahan asas, pengendalian proses dan teknik pembuatan sehingga aspek pembungkusan serta penyimpanan.

    “Kebersihan pastinya menjadi penentu bagi menghasilkan produk yang sihat dan selamat serta memberi kepuasan kepada pelanggan kami apabila mereka menyediakan masakan untuk seisi keluarga,” tambahnya yang turut berkongsi setakat ini mereka mampu mengeluarkan dalam anggaran lebih 400 kontena khusus bagi produk tumis segera dalam seminggu sebelum diedarkan.

    Tidak tenggelam dengan arus cabaran

    Dayang Fauzana dan suami yang juga pernah mengikuti kursus agrimakanan anjuran Jabatan Pertanian Sinaut, Daerah Tutong untuk mendalami lagi ilmu dari segi penghasilan kualiti produk yang terbaik secara menyeluruh, turut berkongsi bahawa bahan-bahan asas seperti bawang merah, bawang putih dan lada biasanya diperoleh dari pembekal dan pengusaha tempatan agar sama-sama berkongsi rezeki membantu satu sama lain.

    Di samping itu, mereka juga semakin giat menjalankan penanaman secara persendirian bagi bahan asas yang terdiri daripada kunyit, serai, halia dan lengkuas di sebuah ladang yang terletak sekitar Kampung Katimahar.

    “Turun naik harga bahan-bahan asas menjadi salah satu cabaran kami sepanjang menempuhi liku-liku produk jualan ini namun perkara itu tidak mematahkan semangat kami untuk sama-sama meniti keseronokan dunia keusahawanan di negara kita bersama para pengusaha dalam pelbagai produk tersendiri.

    “Pastinya, bukan mudah untuk menceburi bidang keusahawanan ini jika tiada semangat kental, namun hakikatnya dalam meniti bidang ini, pembelajaran secara berterusan sama ada dari segi berusaha meningkatkan motivasi diri dalam perniagaan bahkan juga sentiasa berkongsi pengetahuan dan pengalaman sesama kalangan insan-insan usahawan yang berjiwa positif mestilah sentiasa diamalkan demi menjadikan kita lebih baik dari hari ke hari,” jelasnya dengan penuh ketulusan. Beliau juga semakin giat mengedarkan produk jualan mereka di beberapa buah gedung perniagaan dan juga pusat komersial terpilih hampir di seluruh negara, selain membukakan tempahan dalam talian.

    Berniaga demi manfaat bersama

    Dayang Fauzana menjelaskan bahawa dengan adanya hasil produk ini, ia sememangnya menjadi pendorong untuk sama-sama berusaha menjadi insan yang juga mampu memberi manfaat kepada orang lain dari segi mewarnai dunia masakan menerusi produk yang digunakan dan bukan hanya meraih rezeki dalam berniaga semata-mata.

    Di samping mengetengahkan produk-produk berkenaan, Dayang Fauzana yang bertanggungjawab dalam pengendalian aspek pembungkusan, pemasaran dan juga penghantaran produk kepada stokis-stokis tertentu serta para pelanggan juga tidak ketinggalan mengadakan sesi perkongsian resipi peribadi beliau termasuklah perkongsian ciptaan resipi para pelanggannya menerusi penubuhan group chat dalam talian yang dilakukan tiga kali setiap hari.

    “Biarlah koleksi resipi itu dapat dinikmati bersama khususnya bagi mereka yang ingin mempelbagaikan masakan mereka dari hari ke hari. Keistimewaan berkongsi resipi itu tetap terasa, ia bagaikan pengikat kasih antara satu sama lain.

    “Sekiranya kesuntukan masa dalam menyediakan bahan untuk masakan tapi inginkan masakan yang sedap, jangan risau produk tumis segera ini sedia membantu! Pasti begitu menjimatkan masa dan tenaga, namun jangan pula lupa masaklah dengan penuh kasih sayang untuk insan-insan di sekeliling kita,” ujar pengusaha suami isteri produk tumis segera itu sambil tersenyum semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda