SUBANG, 6 OGOS – Airbus Helicopters Simulation Centre Sdn Bhd menyasarkan untuk menyediakan masa latihan simulasi sejumlah 2,100 jam setahun, selaras dengan tambahan simulator penerbangan penuh Dauphin AS365 N3/N3+ di pusatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Sebelum ini, pusat itu hanya menempatkan simulator penerbangan penuh H225/H225M.
Pengurus Besar Mohamed Raziff Abdul Hamid berkata dengan adanya dua simulator, melatih juruterbang dan kru daripada kalangan pelanggan dalam sektor ketenteraan, paraawam dan sivil di seluruh rantau Asia Pasifik kini boleh dijalankan di Malaysia.
Beliau berkata keunikan simulator penerbangan itu, dalam Airbus, adalah satu-satunya simulator untuk N3 dan N3 + yang dilengkapi dengan konfigurasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Terdapat satu lagi yang serupa (dengan ini) di Paris tetapi ia tidak mempunyai corak konfigurasi SAR. Oleh itu, kami boleh menawan pasaran lebih besar.
“Bagi April hingga Julai, kami telah mencapai 40 peratus daripada sasaran jumlah latihan (penerbangan),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi penerbangan menggunakan simulator penerbangan penuh AS365 di sini, hari ini.
Meliputi kawasan lebih 10,000 meter persegi, Pusat Simulasi Helikopter Airbus di Malaysia adalah usaha sama dengan anak syarikat milik penuh Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) iaitu BHIC Defence Technologies Sdn Bhd.
Kemudahan itu dilengkapi sepenuhnya untuk menyediakan spektrum perkhidmatan yang luas daripada penyelenggaraan berjadual dan tidak berjadual, penghantaran baharu, penyiapan dan pengubahsuaian baharu, sokongan logistik untuk alat ganti, perkhidmatan menggunakan jam, pengendalian lapangan dan hangar, serta latihan simulator. – Bernama
