Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah 1444 ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru agar umat Islam di negara ini untuk sama-sama mengotakan azam menjadikan ‘niat baik kerana Allah’ sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal soleh.
Segala tindak-tanduk itu termasuklah daripada aspek pembangunan, ekonomi, keadilan, pertahanan mahupun dalam menangani COVID.
“Jika hendak membangun, membangun itu niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat dan kalau menjana ekonomi, diniatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara.
“Kalau kita menjalankan undang-undang, hendaklah diniatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan dan kalau memperkasa pertahanan, diniatkan kerana Allah untuk keselamatan.
“Kalau menangani COVID, niatkan kerana Allah untuk kebaikan semua dan lain-lain lagi.

Dengan niat ikhlas itu, semua pekerjaan atau usaha yang berkebajikan diberkati oleh Allah,” titah Baginda sempena Awal Tahun Baharu Hijrah 1444, hari ini.
“Inilah sebaik-baik cara untuk mendekati Allah melalui niat kerana Allah dan bagi memperolehi sesuatu yang dihajati.
“Sesungguhnya Allah menilai semua perbuatan berdasarkan niat, sebagaimana Nabi SAW memberitahu perkara ini, maksudnya ‘Semua perbuatan itu disertai dengan niat’.
Mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, Baginda Sultan menyatakan hijrah Nabi SAW bersama Sayidina Abu Bakar itu berjaya menepati sasarannya kerana dengan niat untuk menyelamatkan agama dan mencari keredaanNya.
Hijrah adalah salah satu usaha untuk menghindari musibah yang ditimpakan oleh musuh akidah tetapi ia bukan setakat usaha biasa saja.
Begitu juga dalam menangani COVID, semua usaha dihiasi dengan niat suci kerana Allah.
Ini adalah bagi menghindari daripada wabak dan dengan itu juga kita dapat melakukan ibadat dengan selesa dan dapat menunaikan kewajipan lain dengan lebih baik dan sempurna.
Baginda seterusnya bertitah mengenai tema sambutan kali ini yang menggalakkan supaya bersabar, berikhtiar, bertawakal dan berdoa dalam menghadapi ujian.
Menurut Baginda, tema ini dilihat sangat sesuai dengan situasi masa ini, di mana negara masih lagi berhadapan dengan wabak koronavirus.
Bersabar dan berikhtiar serta bertawakal dan berdoa adalah ajaran agama terutama sifat sabar menjadi penentu kepada kesempurnaan iman seseorang.
Manakala syukur dan sabar adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang soleh yang mana kita perlu bersikap seperti mereka kerana ‘syukur’ menambahkan nikmat.
Sementara ‘sabar’ pula, mengukuhkan kedudukan berdasarkan orang sabar itu sentiasa ‘bersama-sama’ dengan Allah.
“Tiada apa lagi yang patut dirisaukan atau ditakutkan, jika Allah sudah bersama-sama kita dan di sinilah terdapat pengajaran hijrah.
“Di samping melakukan usaha-usaha biasa, pergantungan kepada Allah juga adalah rukun utama kehidupan,” titah Baginda.
Di penghujung titah, Baginda dan kerabat Baginda mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1444, semoga kita dan negara sama-sama dipayungi oleh rahmat di sepanjang tahun ini.