SYDNEY, 2 Feb – Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini dituduh ‘membeli’ kemenangan tipis pilihan raya kecil tahun lalu selepas mengakui secara peribadi memberikan Aus$1.75 juta (AS$1.32 juta) untuk kempen Parti Liberal yang kekurangan wang.
Jutawan bekas pegawai bank yang dikenali sebagai ‘Mr Harbourside Mansion’ telah berulang kali mengelak soalan mengenai isu ini tetapi mengubah fikiran semasa temu bual dengan Perbadanan Penyiaran Australia.
“Saya menyumbang Aus$ 1.75 juta. Itulah sumbangan yang saya berikan. Ia telah dihebohkan dan menimbulkan banyak spekulasi,” Turnbull berkata semalam.
Akhbar Sydney Morning Herald berkata, pemberian itu adalah sumbangan politik terbesar individu dalam sejarah Australia.
Liberal Turnbull/Gabungan Kebangsaan menang tipis selepas kempen sengit Julai lalu dan pembangkang dari Parti Buruh mendakwa lawan mereka telah membeli kuasa dengan cukup berkesan.

“Memalukan! Malcolm Turnbull terpaksa membeli undi sebagai jalan keluar daripada kesusahan. Dia tidak dapat menang pilihan raya berdasarkan merit, jadi dia mencari cara lain,” kata Menteri Kewangan bayangan Jim Chalmers.
“Jika dia tidak mempunyai Aus$1.75, beliau tidak akan menjadi pemimpin Parti Liberal dan tidak akan menjadi perdana menteri.”
Laporan menyatakan wang itu digunakan untuk membiayai pengiklanan televisyen, surat-menyurat secara langsung dan tinjauan pendapat. Bendahari Scott Morrison membidas niat jahat Parti Buruh terhadap Turnbull.
“Ia satu taktik kotor daripada politik kotor, dari parti yang diketuai oleh Bill Shorten,” kata Morrison.
Turnbull mempunyai kekayaan dilaporkan bernilai Aus$200 juta yang diperoleh melalui kerjaya sebagai peguam, ahli perniagaan dan pegawai bank pelaburan.
Di bawah undang-undang Australia, parti politik menerima pembiayaan awam berdasarkan sejauh mana pencapaian mereka dalam pilihan raya.
Pembiayaan yang diterima selepas pilihan raya biasanya tidak mencukupi untuk membiayai kempen, menjuruskan parti-parti bertanding mendekati penderma untuk meningkatkan kempen mereka. – AFP