Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tze Yong kejutkan Kean Yew, Zii Jia tersingkir

    KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Pemain peseorangan Malaysia, Ng Tze Yong berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas mencipta kejutan ke atas bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada pusingan pertama Terbuka Jepun 2023 di Tokyo, hari ini.

    Tze Yong, yang merupakan pemain bukan pilihan mengambil masa 41 minit untuk menundukkan Kean Yew, pilihan ketujuh, 21-16, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung di Yoyogi First Gymnasium.

    Beliau bakal bertemu Koki Watanabe dari Jepun yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan seorang lagi bekas juara dunia dan rakan senegaranya, Kento Momota, 13-21, 21-16, 21-13.

    Ini merupakan kemenangan kedua Tze Yong ke atas Kean Yew yang tewas 15-21, 21-14, 21-11 pada suku akhir Sukan Komanwel 2022.

    Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki profesional Malaysia, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan pembukaan buat kali keempat berturut-turut, kali ini di tangan juara bertahan dari Jepun, Kenta Nishimoto, 22-20,17-21, 19-21.

    Nishimoto akan menentang pilihan ketiga, Kunlavut Vitidsarn selepas pemain Thailand itu berjaya menundukan Wang Tzu Wei dari Taiwan, 21-5, 21-16.

    Seorang lagi pemain Malaysia, Cheam June Wei berjaya dijinakkan pemain Indonesia Jonatan Christie, 7-21, 9-21 hanya dalam masa 28 minit.

    Beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menempah tempat ke pusingan kedua apabila menewaskan pasangan tuan rumah Ayato Endo-Yuta Takei, 21-18, 21-15. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda